Bursa Malaysia dibuka meningkat

Pelabur menumpukan kaunter saham dengan rizab tunai yang tinggi. Gambar hiasan
Pelabur menumpukan kaunter saham dengan rizab tunai yang tinggi. Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia memulakan dagangan awal Jumaat dalam wilayah positif, didorong oleh aktiviti belian meluas berikutan pemulihan serantau ketika pelabur dilihat menumpukan kaunter saham dengan rizab tunai yang tinggi.

Pada jam 9.22 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.86 mata kepada 1,549.62 daripada penutupan Khamis iaitu 1,544.76.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.54 mata pada 1,546.30.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 253 berbanding 242 manakala 315 kaunter lain tidak berubah, 1,566 tidak diniagakan dan 21 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 479.11 juta unit bernilai RM188.78 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun pasaran dibuka meningkat, sentimen keseluruhan kekal tidak menentu dengan pelabur mengutamakan saham yang mempunyai rizab tunai lebih tinggi.

"Kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam jajaran 1,540-1,550. Namun, kami turut mendapati pembetulan (teknikal) telah bermula apabila minyak sawit mentah susut ke paras bawah RM4,000 satu tan manakala minyak mentah Brent pula turun kepada AS$86 setong," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya menyifatkan bahawa pelabur cuba mengimbangi tekanan ekonomi yang kukuh serta dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang ketat.

Artikel Berkaitan:

"Bursa Malaysia meneruskan momentum kenaikannya untuk hari kedua berturut-turut semalam berikutan peningkatan sentimen dan aktiviti selepas merosot baru-baru ini," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik tiga sen kepada RM9.70, Public Bank meraih dua sen kepada RM4.16, CIMB tidak berubah pada RM6.59 manakala Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM11.64.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang dan TWL masing-masing kekal pada 14 sen dan tiga sen, Awanbiru turun 12 sen kepada 20 sen manakala Pan Malaysia naik 1.5 sen kepada 21 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 27.24 mata kepada 11,644.21 namun Indeks FBM ACE susut 4.53 mata kepada 4,942.99 dan Indeks FBM 70 turun 1.09 mata kepada 16,183.57.

Indeks FBMT 100 menokok 26.07 mata kepada 11,281.60 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 28.75 mata kepada 11,817.08.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Tenaga naik 0.25 mata kepada 952.25, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 38.79 mata kepada 17,171.43 dan Indeks Perladangan meraih 33.27 mata kepada 7,387.72.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian bagaimanapun susut 0.63 mata kepada 185.08. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28