Ekonomi Malaysia terus kukuh seiring Bursa Malaysia - Rafizi

Rafizi. Foto Bernama
Rafizi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan indeks pasaran saham negara, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada paras tertinggi tahun ini iaitu 1,567.57 mata di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa ekonomi Malaysia akan terus menguat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, FBM KLCI pada Selasa mencecah paras 1,567.57 mata pada paras tertinggi harian menjelang 11 pagi, sebelum ditutup pada paras 1,561.64 mata.

Menurutnya, walaupun sentimen negatif terus dimainkan oleh pihak pembangkang, sentimen ini tidak sama dengan keadaan yang berlaku di pasaran.

"Bursa Malaysia telah menunjukkan peningkatan secara konsisten sejak 12 bulan lepas untuk mencecah paras tertinggi pada paras 1,567.57 mata pagi tadi.

"Peningkatan berterusan yang konsisten ini bersamaan dengan kenaikan 14.45 peratus pulangan tahunan kepada pelabur,” katanya dalam hantaran di laman X (Twitter) rasminya pada Selasa.

Rafizi berkata, dana-dana rakyat yang dikendalikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Permodalan Nasional Bhd, Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera adalah antara pemegang saham terbesar syarikat-syarikat di Bursa Malaysia.

"Apabila pasaran saham naik secara konsisten dalam setahun yang lepas dan memberi peningkatan 14.45 peratus dalam pulangan tahunan, ini akan dapat diterjemahkan dalam bentuk keuntungan yang lebih besar kepada rakyat pada masa hadapan sekiranya maraton ini dapat diteruskan.

"Tanggungjawab membaiki ekonomi negara memerlukan perspektif jangka panjang. Namun, peningkatan yang berlaku (tanpa kita sedar) seperti hari ini memberi pengesahan bahawa ekonomi kita akan terus menguat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!