Dua jam hambat bot nelayan Vietnam

Tiga bot nelayan yang ditahan dalam Op Khas Pagar Laut pada Selasa lalu.
Tiga bot nelayan yang ditahan dalam Op Khas Pagar Laut pada Selasa lalu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terpaksa mengejar tiga bot nelayan asing Vietnam kira-kira dua jam sebelum berjaya menahannya antara 124 hingga 135 batu nautika dari muara jeti Tok Bali, Selasa lalu.

Dalam kejadian antara jam 3.49 hingga 5.47 petang itu, bot Maritim yang melaksanakan rondaan di sempadan merampas kira-kira 8,700 kilogram (kg) hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,900 liter dengan anggaran nilai hampir RM5.4 juta.

Pengarah Maritim negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, melalui Op Khas Pagar Laut itu, seramai 40 nelayan disyaki warga Vietnam berumur antara 18 hingga 62 tahun turut ditahan.

"Jumlah rampasan berkenaan merupakan yang terbesar tahun ini dan kesemua nelayan itu dipercayai menceroboh perairan Malaysia kira-kira seminggu lalu berdasarkan jumlah liter diesel yang digunakan," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut Erwan Shah, ketiga-tiga bot itu pada mulanya enggan memberi kerjasama dan berdegil untuk berhenti.

"Bagaimanapun tindakan pantas kapal penguat kuasa Maritim berjaya memaksa kesemua bot untuk berhenti dan diperiksa.

Erwan Shah (tengah) menunjukkan rampasan dalam operasi di perairan Malaysia pada Selasa lalu.
Erwan Shah (tengah) menunjukkan rampasan dalam operasi di perairan Malaysia pada Selasa lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot pertama mempunyai lima kru termasuk tekong manakala bot kedua dan ketiga masing-masing mempunyai 15 dan 20 kru termasuk tekong," katanya.

Artikel Berkaitan:

Erwan Shah memberitahu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Tambah beliau, tiga tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili mengenai maklumat mereka termasuk nama negara, bendera dan lokasi laluan.

Erwan Shah (tengah) melihat nelayan asing yang ditahan dalam Op Khas Pagar Laut pada Selasa lalu.
Erwan Shah (tengah) melihat nelayan asing yang ditahan dalam Op Khas Pagar Laut pada Selasa lalu.

"Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Jelas beliau pagi, kesalahan bagi kes perikanan boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan

RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kes di bawah Imigresen pula katanya, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada enam kali sebatan mengikut Seksyen 6 (3), Akta Imigresen

1959/53.

"Proses membawa balik bot tahanan mengambil masa lebih 30 jam sebelum tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan kira-kira jam 1 pagi Khamis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat," katanya.

Tambah beliau juga, tangkapan hari terakhir fasa ketiga Op Khas Pagar Laut ini membuktikan keberkesanan operasi dalam mengawal sempadan perairan negara.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28