DVS ajak orang ramai meriahkan MAEPS

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sempena ambutan Hari Veterinar Sedunia 2024

Bidang veterinar menjadi elemen penting dalam memastikan jaminan makanan berasaskan ternakan selamat untuk keperluan masyarakat global.
Bidang veterinar menjadi elemen penting dalam memastikan jaminan makanan berasaskan ternakan selamat untuk keperluan masyarakat global.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengajak orang ramai memeriahkan sambutan Hari Veterinar Sedunia (HVS) 2024 yang akan berlangsung di Laman Ternakan (MAEPS), Serdang bermula 25 hingga 28 April ini.

Menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang pastinya mengujakan para pengunjung, sambutan HVS 2024 menurut Ketua Pengarah DVS, Dr Akma Ngah Hamid, adalah untuk menghargai sumbangan veterinarwan-veterinarwan dalam memastikan kesihatan dan kebajikan haiwan terpelihara sekali gus memastikan kesejahteraan serta keharmonian di antara manusia dan haiwan dicapai.

DR AKMA
DR AKMA

Malah, sumbangan veterinarwan itu katanya, merangkumi usaha memastikan jaminan dan keselamatan makanan berasaskan ternakan mencukupi, mengawal penyakit berjangkit daripada haiwan (zoonotik) merentasi sempadan selain menyelamatkan haiwan.

Pada masa sama, HVS 2024 turut merangkumi usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab, ihsan serta rasa kasih sayang terhadap haiwan selain menambah baik perkhidmatan veterinar di bawah DVS.

“Justeru, adalah menjadi harapan supaya sambutan HVS 2024 ini mampu mendekatkan lagi hubungan DVS dengan masyarakat.

“Selain itu, sambutan ini sekali gus dapat mempromosi perkhidmatan, insentif yang ditawarkan oleh kerajaan dalam menggalakkan lagi perkembangan bidang penternakan sebagai salah satu sumber jaminan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Aktiviti menarik

Artikel Berkaitan:

Tambah Akma, antara aktiviti menarik yang disediakan DVS sempena program HVS 2024 ialah pameran dan pertandingan kucing, Meow Fiesta dan Kebuniti Ternakan yang melibatkan pameran unggas (ayam katik, serama, ayam kampung dan lain-lain).

No Image Caption

Malah, pengunjung juga katanya boleh mengambil peluang membawa ‘si bulus’ kesayangan masing-masing untuk didandan, menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendaftarkan identifikasi haiwan peliharaan (pet passport).

Pada masa sama, pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat prosedur pemandulan haiwan peliharaan mereka yang dijalankan oleh pakar-pakar veterinar bertauliah.

“Kita juga adakan showcase perkhidmatan veterinar, teknologi penternakan serta pavillion antarabangsa yang menampilkan pelbagai produk berasaskan ternakan keluaran 20 usahawan dari Indonesia seperti susu, keju, mentega dan barangan kulit.

“Turut diadakan demonstrasi pembuatan mentega selain perkongsian bual bicara konstruktif bersama para usahawan menerusi Sesi Teh Tarik,” jelasnya yang mana pengunjung juga berpeluang mendapatkan produk makanan, peralatan serta ternakan pada harga menarik sempena HVS 2024.

 Pendaftaran pet passport turut disediakan sempena HVS 2024 di MAEPS, Serdang.
Pendaftaran pet passport turut disediakan sempena HVS 2024 di MAEPS, Serdang.

Akma memberitahu, HVS 2024 yang bertemakan “Veterinarians Are Essential Health Workers” (Veterinarwan Adalah Pekerja Kesihatan Penting) itu turut mempamerkan pelbagai baka lembu bersaiz besar antaranya dari jenis Charolais, Belgian Blue, Limousine, Blonde dan Brahman selain pelbagai varieti kambing dari jenis Kalahari, Boer, Anglo Nubian dan Katjang.

“Menariknya, kita akan bawakan Sonchai, kerbau baka Murrah berwarna hitam yang jinak, pengunjung boleh merasai pengalaman membelai dan bergambar bersama Sonchai di MAEPS nanti,” ujarnya.

Profesion veterinar

Dalam pada itu, Akma menyifatkan veterinarwan merupakan profesion penting yang mana haiwan juga memerlukan rawatan ketika sakit, sama seperti manusia.

“Veterinarwan bukan hanya merawat satu jenis spesies (haiwan) sahaja, tapi pelbagai spesis di darat, laut dan udara yang mempunyai anatomi dan fisiologi berbeza.

Sumbangan veterinarwan merangkumi usaha mengawal penyakit berjangkit zoonotik merentasi sempadan.
Sumbangan veterinarwan merangkumi usaha mengawal penyakit berjangkit zoonotik merentasi sempadan.

“Bahkan menjadi seorang veterinarwan sangat mencabar apabila merawat pesakit yang tidak boleh berkata-kata. Di sinilah mereka perlu menggunakan ketajaman deria mereka untuk membuat penilaian sebelum menentukan bentuk rawatan yang diberikan,” katanya.