Dua ahli perniagaan didakwa rompak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan merompak dengan menggunakan pistol ke atas seorang pekerja syarikat kawalan keselamatan, membabitkan wang kira-kira RM231,000, Disember lepas.

K Darmendran, 37, dan rakannya R Nagendran, 21, didakwa bersama-sama melakukan rompakan secara berkumpulan bersenjatakan pistol terhadap Abdul Latif Shabudin sehingga mengakibatkan kerugian RM231,879.15 milik syarikat SRT-EON Security Service Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Alliance Bank Jalan Tun Dr Awang berhampiran Masjid Sungai Kecil, di sini pada jam 10.51 pagi, 16 Disember lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Harith Prakash tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh akan mendekati mangsa sekiranya diikat jamin, bagaimanapun peguam, A Chandra Segaran Achannah yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan ke atas anak guamnya dengan menyatakan tiada sebarang ancaman dibuat terhadap pengadu (mangsa kes itu).

Hakim, Norsalha Hamzah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh diperintah melapor diri di balai polis pada setiap 1 hari bulan.

Norsalha turut memberikan satu lagi syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh dilarang mendekati mangsa dalam kes itu dan menetapkan 20 Februari ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: