Dua lelaki warga asing curi wayar diberkas

Wayar serta peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri dirampas susulan tangkapan dua lelaki warga asing pada Ahad.
Wayar serta peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri dirampas susulan tangkapan dua lelaki warga asing pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Tindakan dua lelaki warga asing yang membakar wayar berhampiran kawasan semak membongkarkan kegiatan mencuri barang berkenaan di sebuah taman perumahan dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, tindakan dua suspek itu disedari dua anggota polis bantuan yang sedang menjalankan rondaan di sekitar lokasi itu kira-kira jam 12.50 pagi.

"Ketika kejadian dua anggota polis bantuan itu memasuki kawasan semak sebelum ternampak dua individu sedang membakar sesuatu.

"Siasatan dijalankan mendapati kedua-dua suspek itu sedang membakar wayar elektrik selain pemeriksaan menemukan peralatan seperti botol minyak petrol, alat pemotong besi, dua bilah pisau dan pemetik api," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek dipercayai mencuri wayar berkenaan di kawasan berkenaan dan membakarnya untuk dijual.

"Siasatan mendapati suspek mencuri wayar di rumah yang masih dalam pembinaan sebelum menjualnya.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek berumur 41 dan 43 tahun serta tidak bekerja serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1963.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28