[VIDEO] Identiti Najwan sekali lagi disalah guna skim pelaburan

A
A
A

SHAH ALAM - Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berharap ini kali terakhir identitinya digunakan sebagai akaun pelaburan pihak yang tidak bertanggungjawab di aplikasi media sosial.

Najwan berkata, beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut selepas kali kedua menjadi mangsa pihak menawarkan perkhidmatan skim pelaburan.

 Najwan
Najwan

"Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah berhubung dengan saya bagi mendapatkan maklumat tersebut, dan maklumat yang dikongsi kepada Fahmi akan dipanjangkan kepada SKMM untuk tindakan lanjut.

"Ini kali kedua akaun media sosial saya (discam) dan sebelum ini saya tidak tahu pihak mana mungkin pihak sama tetapi akaun (lama) sudah tidak lagi digunakan dan mereka buka akaun baharu dengan menggunakan profil, identiti dan gambar saya serta keluarga dalam akaun Telegram tersebut," katanya.

Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Dewan Raja Musa Muda, Seksyen 7 di sini pada Ahad.

Tetamu yang hadir bergambar bersama Najwan (berdiri dua kiri) padan majlis rumah terbuka diadakan pada Ahad.
Tetamu yang hadir bergambar bersama Najwan (berdiri dua kiri) padan majlis rumah terbuka diadakan pada Ahad.

Beliau percaya kerana jawatannya sebagai Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan menjadi antara faktor pihak tidak bertanggungjawab itu mengambil kesempatan menggunakan namanya namun meminta semua pihak lebih berhati hati.

Artikel Berkaitan:

"Kalau mereka melihat akaun-akaun Telegram yang menawar atau memperkenalkan skim skim tertentu seperti ini mohon membuat semakan terlebih dahulu kerana akaun akaun ini bukan akaun saya, ia akaun palsu," tambahnya.

Pada Jumaat, Najwan memaklumkan akan membuat laporan kepada SKMM berhubung satu akaun pelaburan yang didakwanya menggunakan gambar dan namanya di aplikasi Telegram.

Lebih 5,000 tetamu hadir memeriahkan majlis rumah terbuka. diadakan di Seksyen 7 pada Ahad.
Lebih 5,000 tetamu hadir memeriahkan majlis rumah terbuka. diadakan di Seksyen 7 pada Ahad.

Najwan turut memuat naik iklan pelaburan berkenaan di aplikasi X miliknya dan turut menyamar kononnya berminat menyertai skim pelaburan tersebut di aplikasi WhatsApp.

Menerusi perkongsian perbualan Najwan di aplikasi WhatsApp, pemilik akaun terbabit meminta Najwan terlebih dahulu mengisi borang disediakan sebelum masuk ke dalam kumpulan Telegram pelaburan tersebut.

Bagaimanapun, pemilik akaun terbabit tidak membalas WhatsApp sebaik Mohd Najwan berkongsi laporan media terhadap akaun tersebut.

"Saya harap semua berhati-hati dan jangan terpedaya dengan akaun Telegram palsu ini," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!