Sastera dan ketulusan akal budi

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

Sejauh mana pengarang mengotakan apa yang diungkapkan dalam karya kreatif yang dihasilkannya? Sejauh mana hasil karya kreatif yang dibangunkan oleh seseorang pengarang dapat memandu pembacanya ke arah kebaikan, dan kemuliaan?

Justeru, sastera dan ketulusan akal budi berperanan dalam membangunkan keperibadian pembaca, malahan sahsiah diri penulis itu sendiri.

Umum mengetahui bahawa sastera merupakan nilai-nilai luhur yang dituntut oleh seseorang penulis untuk dihidangkan kepada pembacanya. Nilai-nilai luhur yang ditampilkan itu tentu sekali merangkumi perkara asas dalam menghasilkan sebuah karya kreatif khususnya genre prosa dan puisi meliputi garapan tema, persoalan, bahasa dan gaya bahasa sekali gus watak dan perwatakan yang dituangkan dalam karya masing-masing. Sementelahan kemuncaknya karya tersebut mengungkapkan unsur pengajaran yang dapat membantu membentuk akhlak pembaca ke arah kebaikan dan kemuliaan, bukan kepada kemungkaran dan kebobrokan.

Untuk itu, ketulusan akal budi merupakan perkara utama yang sewajarnya dipasakkan dalam diri seseorang pengarang. Apakah tujuannya berkarya? Apakah matlamat akhirnya dalam penulisan? Apakah pengarang jujur dalam menyampaikan perutusan kepada pembacanya? Ya, kejujuran yang akhirnya membentuk ketulusan akal budi supaya hasil karya seumpama ‘kain putih’ bukan ‘kain hitam’. Apakah yang dikatakan ‘kain putih’?

Sebagaimana seseorang menuju kematian, maka yang membalut jenazah merupakan kain putih lantaran melambangkan kesucian untuk menghadap ALLAH Ya Musawwir (Yang Maha Mencipta).

Begitu juga dengan sebuah karya sastera yang berperanan tugasnya menawarkan kebaikan dan kemuliaan kepada pembaca, maka ‘kain putih’ yang sewajarnya dicorakkan.

Perihal mencorakkan ‘kain putih’ untuk pembaca juga bukan sekadar membariskan kisah-kisah muluk untuk pembaca, bahkan diri pengarang itu sendiri wajar memiliki kebaikan dan kemuliaan dalam dirinya.

Ada ketikanya tatkala membaca karya pengarang si A, pembaca akan merasa kagum dengan hasil tulisannya. Ada masanya ketika menelaah karya pengarang si B, pembaca akan terpesona dengan bait-bait yang diungkap dalam penulisannya. Namun, apabila pembaca mengenali pengarang tersebut alangkah terperanjat kerana keperibadiannya tidak sepadan dengan hasil tulisannya.

Artikel Berkaitan:

JELIK ALAM REALITI

Hipokrasi. Perkataan yang paling tepat untuk situasi sedemikian rupa. Penulis yang menampilkan perihal kebaikan dan kemuliaan dalam karyanya tetapi dirinya sendiri melakukan kejelikan dan kebobrokan di alam realiti, maka itulah hipokrasi.

Mengapa hasil penulisannya tidak dapat membangun dirinya menjadi mulia? Mengapa hasil penulisannya tidak dapat mengasuh akal budinya setiap masa? Maka inilah yang meracuni dunia sastera.

Secara perlahan-lahan dunia sastera yang terkenal sebagai dunia imaginasi yang membawa nilai-nilai luhur mulai diragukan kebenarannya. Dunia sastera yang berusaha mengasuh akal budi anak-anak muda kian tersasar daripada landasannya. Pembaca menyaksikan ketidakjujuran dalam diri penulis itu sendiri. Pembaca yang pada asalnya terpesona dan tersihir dengan ungkapan indah yang dimuatkan dalam hasil karyanya mulai meragukan karya yang ditelaahnya. Terserlah pengarang memiliki sikap ‘cakap tak serupa bikin’, dan hipokrasi.

MENGAPA TERJADINYA DEMIKIAN?

Maka, berbalik semula kepada matlamat asal sewaktu berkarya. Apakah nawaitu utama? Menyedari tanggungjawab menjadi seseorang pengarang amatlah berat, maka belajarlah untuk mengurus diri terlebih dahulu. Apakah yang wajar menjadi pegangan seseorang pengarang? Apakah perkara yang tidak wajar dilakukan oleh seseorang pengarang? Justeru, roh kepengarangan sangat penting dalam membangunkan akal budi untuk diterjemahkan dalam penulisan seterusnya ditatap oleh masyarakat pembaca.

Apa yang perlu dijadikan renungan? Untuk tidak dilabelkan sebagai hipokrasi maka seseorang pengarang wajar meletakkan dirinya sebagai ‘kain putih’ yang bila-bila masa akan menghadap Tuhan ke negeri pengabadian. Berusaha untuk mencorak keperibadian diri sebagaimana yang diungkapkan dalam penulisan.

Berusaha untuk membangunkan kebaikan dan kemuliaan bukan sahaja dalam penulisan bahkan dalam diri sendiri dengan kejujuran. Belajar menerima kelemahan diri sebagai hamba Tuhan dan berusaha untuk membaiki segala kekurangan.

Maka, dengan menulis perkara-perkara yang muluk, mudah-mudahan akan terpercik kebaikan dan kemuliaan dalam diri yang sarat kekhilafan. Usah bongkak dan angkuh. Lantaran setiap manusia di muka bumi memiliki siri kelemahan, kekurangan dan kekhilafan yang tersendiri.

MENGAPA PERLUNYA KETULUSAN AKAL BUDI?

Peri pentingnya sebuah ketulusan akal budi kerana ia merupakan cerminan diri seseorang. Sementelahan memegang amanah sebagai seorang pengarang. Tanggungjawab sebagai seseorang pengarang sekali gus sebagai hamba Tuhan menjadi berganda. Perihal kebaikan dan kemuliaan bukan sekadar omongan dan semata-mata kepalsuan.

Usah cemarkan dunia sastera yang menganjur kepada segugus kebaikan dan kemuliaan. Usah cemarkan roh kepengarangan yang mengasuh kepada keperibadian dan kewibawaan sejajar dalam al-Quran.

Bagaimana sastera dan ketulusan akal budi saling bergandingan?

Binalah keyakinan dan kepercayaan dalam diri bahawa menulis bukan sekadar ikut-ikutan. Proses menghasilkan karya diselubungi dengan sarat cabaran yang menguji kesabaran. Untuk menjadi penulis yang diredai Tuhan bukan habuan wang ringgit yang menjadi keutamaan.

Untuk menjadi penulis yang hasil karyanya menjadi penawar anak muda berdepan dengan kemelut kehidupan, sewajarnya agama menjadi sandaran. Untuk menjadi penulis meraih ganjarannya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat, maka pasakkan hasil karya yang dapat menuntun masyarakatnya ke arah kebaikan, kebenaran dan keindahan kepada Ya Rahim Ya Rahman.

Hasil karya sastera bukan kerja iseng-isengan dan semberono. Hasil karya sastera bukan kerja daripada sikap penulisnya yang hipokrasi dan keji. Hasil karya sastera bukan matlamat utamanya meraih pujian, gelaran dan sanjungan semata-mata.

Karya yang bermutu hasil daripada roh kepengarangannya yang meletakkan ketulusan akal budi sebagai tunjang pengkaryaan, dan luhurnya perjuangan. Seumpama ungkapan Imam Bukhari: “Setiap amal sesuai dengan niatnya”, ayuh perkasakan diri penulis dengan ketulusan akal budi demi hasil karya sastera yang muluk untuk anak bangsa tercinta!

* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin merupakan Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia, dan pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!