Letusan gunung Ruang: Tiada keperluan pakai pelitup muka di Sabah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada keperluan memakai pelitup muka di kawasan terbuka di Sabah buat masa ini berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang baru-baru ini, kata Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Asits Sanna.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan hasil dapatan penilaian risiko yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), bagaimanapun orang awam dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital terdekat sekiranya mengalami gejala pernafasan.

"Jabatan ini juga memantau penyakit berkaitan jerebu seperti jangkitan saluran pernafasan atas, asma dan juga penyakit konjunktivitis di beberapa klinik kesihatan dan hospital di negeri Sabah,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Orang ramai dinasihatkan mengikuti laporan status kualiti udara yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar di https://apims.doe.gov.my/home.html dan mengambil tindakan kesihatan berpandukan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing.

Dr Asits berkata, letusan gunung berapi boleh membebaskan zarah berbahaya seperti abu serta gas karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2).

Beliau berkata, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia letusan yang dicerap adalah sehingga 16,764 meter (55,000 kaki) di udara, namun pemantauan IPU tidak menunjukkan kualiti udara di permukaan bumi terjejas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: