Usaha PM bawa keluar keluarga Nadir tanda semangat kekitaan - ABIM

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu membawa keluar keluarga aktivis kemanusiaan Nadir Al-Nuri dari Gaza ke Malaysia jelas menunjukkan bahawa semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih wujud serta turut sama dirasai.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ia termasuk respon dalam kalangan pemimpin pembangkang yang turut mengalu-alukan usaha diplomatik dan berterima kasih atas inisiatif kemanusiaan itu.

Katanya, semangat kebersamaan masih terserlah di sebalik pelbagai gembar gembur isu-isu dan polemik semasa yang berlaku kebelakangan ini di samping kemeriahan sambutan Aidilfitri.

"Keadaan ini meyakinkan ABIM bahawa perpaduan boleh dirintis atas perkongsian matlamat dan nilai-nilai kebersamaan.

"Selain itu, sikap mencari titik persamaan dalam semua aspek, bertoleransi dalam menangani perbezaan 'agree to disagree',bersepakat dan sependapat dalam menghadapi dugaan serta cabaran," jelasnya pada Sabtu.

Tambah Ahmad Fahmi, ketegasan Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin telah membawa satu naratif dan nafas baharu dalam mendokong suara masyarakat antarabangsa yang masih mempunyai nilai kemanusiaan.

"Dengan keadaan yang semakin getir dihadapi penduduk Gaza serta situasi pergolakan yang berlaku di Timur Tengah pada ketika ini, adalah penting setiap kelompok rakyat Malaysia bersatu serta menguruskan perbezaan terutamanya persepsi politik secara sederhana dan murni.

"Mengimbau kembali inisiatif yang pernah dianjurkan ABIM pada 8 Mei 2002 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memperlihat pemimpin negara dari pelbagai latar parti duduk bersama atas satu pentas bersolidariti atas nama perjuangan rakyat Palestin," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!