Wanita maut, dua lelaki parah kereta langgar pokok

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang wanita maut, manakala dua lelaki cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan dalam kemalangan di Jalan Macalister di sini pada Sabtu.

Foo Yu Xuan, 24, yang memandu kereta jenis Volkswagen itu maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Sha'ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 pagi dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak terus ke lokasi.

"Sebaik pihak bomba tiba, terdapat sebuah kereta dipercayai terbabas telah melanggar sebatang pokok di tepi jalan dan ada tiga mangsa di dalam kenderaan terbabit.

"Kami menjalankan kerja-kerja mengeluarkan dua lelaki dan seorang wanita yang tersepit di dalam kereta itu dan kesemua mereka berjaya dikeluarkan pada jam 5.27 pagi, sebelum pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa wanita telah meninggal dunia," katanya di sini pada Sabtu.

Sha'ari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat, manakala dua lagi mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!