Kepulangan Syamer kekuatan tambahan Penang FC - Jurulatih

Syamer Kutty Abba
Syamer Kutty Abba
A
A
A

KEPULANGAN pemain tengah baharu Penang FC, Syamer Kutty Abba yang mempunyai pengalaman luas dalam pengembangan karier mampu memberi kekuatan tambahan kepada skuad Harimau Kumbang mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, pengalaman Syamer bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan skuad kebangsaan merupakan peluang terbaik untuk membantu pasukan bersaing dengan lebih hebat.

"Apabila saya bertanyakan kepada Syamer mengenai kepulangannya ke Pulau Pinang dan dia bagi satu respons yang positif, jadi saya rasa ini satu (peluang) yang terbaik untuk pasukan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Akmal Rizal berkata, kelebihan anak jati Pulau Pinang itu sebagai pemain tengah bertahan dalam pasukan yang mampu menguatkan lagi posisi tersebut sekali gus Harimau Kumbang berpeluang untuk menguasai perlawanan.

"Syamer selaku pemain tengah bertahan, jadi saya memang memerlukan pemain di posisi itu, saya sudah ada beberapa pemain yang boleh bermain posisi yang sama tapi dengan adanya Syamer, saya mempunyai pilihan.

Beliau berkata, Syamer turut menunjukkan reaksi positif sepanjang latihan seminggu lepas dan berusaha secepat mungkin untuk menyesuaikan diri dengan taktikal bersama rakan sepasukan yang lain.

"Keberadaan Syamer dapat membangkitkan semula semangat pasukan untuk berada di kedudukan yang lebih baik dalam memulakan kempen Liga Super bagi musim 2024/2025,” katanya.

Akmal Rizal yang juga bekas penyerang kebangsaan itu berikrar untuk melakukan perubahan dari segi persembahan dalam setiap perlawanan bagi menarik peminat serta penyokong memenuhi Stadium Bandaraya di sini selain mendapatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Syamer, anak jati Pulau Pinang pernah menyarung jersi Harimau Kumbang pada 2016 dan 2017 sebelum ke JDT pada 2018 dan seterusnya membuat penampilan sulung untuk skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Asia 2019.

Mengulas mengenai perlawanan Kejohanan Empat Penjuru Pra Musim menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Rabu lepas, Akmal Rizal berkata beliau berpuas hati dengan semangat juang setiap pemain meskipun kalah tipis.

TFC menang tipis 1-0 menumpaskan Harimau Kumbang hasil jaringan penyerang baharu Ismaheel Akinade pada babak kedua. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28