Perhalusi kesan walau kecil bagi Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SERANGAN lebih 300 dron termasuk peluru berpandu balistik oleh Iran ke atas negara haram Israel pada Sabtu lalu sudah pasti mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa kerana mungkin akan meningkatkan konflik di rantau Asia Barat.

Tindakan Iran ke atas Israel itu bukanlah suatu perkara di luar jangka. Ia telah diramalkan oleh ramai para pemerhati geopolitik susulan serangan peluru berpandu dipercayai dilakukan Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lalu yang mengorbankan tujuh pegawai termasuk dua komander tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Meskipun Iran telah menamatkan operasi tersebut dan Israel pula dilaporkan membatalkan serangan balas selepas AS menolak penglibatan mereka terhadap tindakan berkenaan, tidak bermakna konflik di Asia Barat itu telah berakhir secara rasmi.

Israel sehingga kini masih tidak mengubah atau menukar pendirian serta tindakan mereka di Palestin dan negara-negara lain seperti di Lubnan dan Syria.

Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada dasar berkecuali (non-aligned), ia tidak bermakna Malaysia menganggap situasi di Asia Barat itu sebagai suatu perkara yang tiada kena-mengena atau memberi kesan kepada politik, ekonomi dan sosial.

Malaysia sebaliknya konsisten menentang kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan tidak pernah mengiktiraf negara haram Israel.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu secara lantang menyatakan pendirian Malaysia yang menyokong tindakan Iran ke atas Israel sebagai satu perkara yang sah serta mematuhi Perkara 41 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan ketegasan Malaysia yang menggesa rejim Zionis Israel tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Asia Barat.

Artikel Berkaitan:

Gesaan itu turut selari dengan gelombang masyarakat antarabangsa ketika ini yang menolak keadaan lebih buruk berlaku di rantau berkenaan selain menuntut terhadap Israel supaya menghentikan tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Sungguhpun begitu, kecil atau besar impaknya, Malaysia perlu berhati-hati serta membuat penilaian teliti terhadap situasi berkenaan yang pastinya sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi, hubungan diplomatik, keselamatan serta lain-lain hal.

Justeru, sebarang peningkatan konflik sudah tentunya akan menyebabkan gangguan pergerakan sumber bekalan minyak terutamanya di Selat Hormuz yang merupakan laluan maritim penting pengangkutan bekalan sumber tenaga itu di peringkat global.

Gangguan tersebut berkemungkinan akan mempengaruhi pasaran harga minyak global yang mungkin memberi kesan kepada ekonomi negara dari segi import.

Setakat 16 April, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) diniagakan pada AS$89.98 (RM431.29) setong dan Moody’s menjangka harga minyak menokok AS$5 setong lagi terhadap premium risiko dan melonjakkan harga minyak kepada lingkungan AS$90 (RM431.39) hingga AS$95 (RM455.39) setong.

Pada masa sama, sebarang peningkatan konflik di Asia Barat berkemampuan mencipta ketidakpastian pasaran global, seterusnya memberi kesan kepada aliran perdagangan dan pelaburan.

Bagi Malaysia yang mempunyai hubungan dagang di setiap rantau, sebarang peningkatan konflik sedikit sebanyak memberi impak dalam hubungan perdagangan serta iklim pelaburan yang berpunca daripada ketidakstabilan pasaran serta sentimen para pelabur.

Konflik Iran-Israel juga berpotensi mempengaruhi keputusan dasar luar Malaysia yang mana negara ini mempunyai mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dengan Iran.

Penyesuaian sikap diplomatik mungkin perlu diambil kira oleh kerajaan dalam memastikan negara tidak berhadapan apa-apa tekanan tertentu untuk memihak, di samping mengekalkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin serta tidak mengiktiraf negara haram Israel.

* Yazid Alias ialah Penolong Editor Kandungan Komersial Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28