'King' tersangkut hujung jambatan, pemandu positif dadah

Kereta dipandu seorang lelaki berusia 50-an tersangkut kerana jambatan itu hanya boleh digunakan motosikal.
Kereta dipandu seorang lelaki berusia 50-an tersangkut kerana jambatan itu hanya boleh digunakan motosikal.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang lelaki ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh dadah hingga mengakibatkan kenderaan dipandu tersangkut di hujung jambatan laluan motosikal di Kuala Kurau di sini

Kejadian itu dimaklumkan kepada polis sekitar jam 8.45 pagi pada Khamis membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, sebaik tiba di lokasi didapati, pemandu berusia 50-an terbabit sedang menjerit-jerit ke arah orang ramai.

Menurutnya, anggota polis yang berada di situ cuba menenangkan keadaan, namun suspek enggan bekerjasama hingga berlaku pergelutan ketika melakukan tangkapan.

"Pemeriksaan lanjut telah menemukan satu peket plastik mengandungi bahan disyaki dadah pada pemandu itu.

"Siasatan dijalankan juga mendapati, kereta dipandu suspek tersangkut kerana jambatan itu hanya boleh digunakan motosikal," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu telah dibawa ke Balai Polis Kuala Kurau sebelum dihantar ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati, lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Juna berkata, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki bahan disyaki dadah.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.

"Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi balai terdekat atau bilik gerakan IPD Kerian di talian 05-7212222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!