Penyakit berkaitan cuaca panas meningkat

Sehingga 17 April, jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 47 kes. Gambar hiasan
Sehingga 17 April, jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 47 kes. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemantauan sehingga 17 April 2024 menunjukkan jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 47 kes.

Menerusi laporan ringkas status cuaca panas Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), pecahan kes mengikut diagnosis adalah 12 strok haba, 34 kelesuan haba dan satu kejang haba.

Katanya, bagaimanapun, tiada kematian baharu dilaporkan pada minggu ini.

"Kes kematian akibat strok haba kekal dua yang mana melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun pada 2 Februari 2024 di Pahang dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Kelantan pada 1 April 2024.

"Terdapat dua kes yang masih mendapat rawatan di hospital, iaitu satu strok haba yang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan satu kelesuan haba dirawat di wad biasa," jelasnya pada Khamis.

Nadma turut menasihati orang ramai agar minum air mencukupi, hadkan aktiviti luar, pakai pakaian yang selesa, sesuai dan mudah menyerap peluh serta elakkan pembakaran terbuka.

"Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan kepada lebih 652 kawasan titik panas kebakaran di seluruh negara susulan fasa akhir Monsun Timur Laut.

"Selangor, Johor dan Sarawak merupakan antara negeri tertinggi yang direkodkan berlaku pengulangan insiden melibatkan kebakaran kategori lalang, kebun, hutan dan pelupusan sampah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, sehingga 18 April 2024, dua empangan menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya iaitu Empangan Sembrong Barat di Johor (28.90 peratus) dan Empangan Malut di Kedah (29.00 peratus).

"Empat empangan lain menunjukkan stok bekalan air berada pada paras amaran, iaitu Empangan Air Hitam di Pulau Pinang (30.30 peratus), Empangan Muda (36.13 peratus), Empangan BS Padang Saga (38.54 peratus) di Kedah dan Empangan Timah Tasoh di Perlis (50.19 peratus).

"Untuk rujukan, baki storan 29.99 peratus dan ke bawah adalah bahaya, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal)," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!