PBAPP kurangkan pengeluaran air mentah harian

Empangan Air Itam. (Gambar kecil: Pathmanathan)
Empangan Air Itam. (Gambar kecil: Pathmanathan)
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengurangkan purata pengeluaran air mentah hariannya dari Empangan Air Itam sejak Februari dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Pathmanatan K berkata, AIDAP 2024 telah dilaksanakan mulai 5 Februari lalu apabila kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 32.8 peratus.

Menurutnya, pada Isnin kapasiti efektif empangan itu ialah 30.3 peratus.

"Keputusan menunjukkan kapasiti efektif Empangan Air Itam telah menurun sebanyak 2.5 peratus dalam tempoh 70 hari (purata: 0.036 peratus sehari).

"Dalam tempoh masa ini, Pulau Pinang menyambut dua musim perayaan utama apabila cuaca panas dan kering," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, walaupun terdapat spekulasi bahawa 30.3 peratus kapasiti efektif di Empangan Air Itam hanya mencukupi untuk bekalan selama 30 hari, namun ia sebenarnya tidak bermaksud sedemikian.

"Anggaran ini mengelirukan kerana terdapat kelayakan penting, tanpa hujan.

"Apabila ada hujan di KTA Air Itam, bilangan hari akan berubah.Ia berdasarkan pelepasan cuaca kering sebanyak 22 JLH.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini, PBAPP melaksanakan AIDAP 2024 dengan pelepasan 11 JLH, malah PBAPP mempunyai pilihan untuk mengetatkan lagi kawalan bekalan air AIDAP bagi mempertahankan baki simpanan empangan untuk jangka masa yang lebih lama.

"Bagaimanapun, pelaksanaan kawalan tersebut boleh menyebabkan beberapa kesulitan kepada sesetengah pengguna di kawasan perkhidmatan Air Itam," katanya lagi.

Berkenaan status amaran Air Itam bermula pada 1 Januari lalu, beliau berkata, bagi Empangan Air Itam, PBAPP telah mengoperasikan Empangan Air Itam pada status amaran.

Katanya, pada awal tahun ini, kapasiti efektif empangan itu ialah 68.9 peratus dan bukan 100 peratus.

Tambahnya, mulai Januari PBAPP sedar bahawa pelepasan dari empangan ini mesti diuruskan dengan teliti sehingga musim hujan 2024.

"Pada 5 Februari, dengan bermulanya fenomena El Nino penuh di Pulau Pinang, PBAPP melaksanakan AIDAP 2024 sebagai langkah kontingensi apabila kapasiti efektif empangan menyusut kepada 32.8 peratus.

"Pada pertengahan April lalu, tidak dinafikan kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah iaitu 30.3 peratus.

"Bagaimanapun, PBAPP masih aktif mempertahankan simpanannya yang ada menerusi AIDAP 2024," ujarnya

Bagi kapasiti efektif 30.3 peratus pula, beliau berkata, ia bukan sebab untuk panik namun keputusan AIDAP 2024 dalam tempoh 70 hari yang lalu harus meyakinkan pengguna air di Air Itam.

Beliau berkata, pihaknya tidak tahu berapa lama musim panas dan kering ini akan berakhir, bagaimanapun perkhidmatan bekalan air masih normal di kawasan perkhidmatan Air Itam.

Selain itu tambah beliau, menurut laporan cuaca antarabangsa, akan berlaku peralihan daripada fenomena El Nino panas dan kering kepada fenomena La Nina basah dan hujan tidak lama lagi.

"MetMalaysia meramalkan taburan hujan yang lebih tinggi di Pulau Pinang pada jangka masa April hingga Julai, dengan ketibaan musim peralihan monsun.

"Untuk memastikan kita mempunyai air yang mencukupi di Pulau Pinang, pengguna air (terutamanya pengguna Air Itam) harus mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus pada April, Mei dan Jun nanti," tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28