PRN Sabah: PBS, STAR meterai MoU kukuh kerjasama politik

Jeffrey (dua dari kanan) dan Joachim (dua dari kiri) selepas menandatangani MoU antara PBS dan STAR di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.
Jeffrey (dua dari kanan) dan Joachim (dua dari kiri) selepas menandatangani MoU antara PBS dan STAR di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, MoU ini adalah satu persefahaman untuk bekerjasama selepas menyedari kedua-dua parti mempunyai aspirasi yang sama.

"Tujuan kita adalah sama, perjuangan kita sama, dengan kesedaran itu juga kita sedar untuk capai aspirasi rakyat dan objektif, kita kena kerjasama, bersatu dan bersolidariti.

"Sebab kita telah belajar dari sejarah bila kita bertelingkah antara satu sama lain, bukan kita saja yang rugi, parti rugi, pemimpin rugi dan rakyat juga rugi akibat ketidaksefahaman atau pertelingkahan antara kita.

"Jadi dengan kesedaran ini, belajar dari kesilapan kita, dan timbullah kerjasama dan MoU ini untuk memastikan kita tidak ulangi kesilapan kita," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU di Dewan Hongkod Koisaan di sini pada Khamis.

Jeffrey berkata, susulan daripada MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan Majlis Kepimpinan Bersama sebagai mekanisme untuk pembuatan dasar dan keputusan muktamad yang diputuskan pihak tertinggi.

Pairin (berdiri tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PBS dan STAR di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.
Pairin (berdiri tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PBS dan STAR di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.

"Kita juga bersetuju berkolaborasi untuk urus, beri latihan kepada ahli dan jentera, selain bekerjasama dari segi media dan kolaborasi tentang penerangan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengenal pasti kawasan yang kita harus tandingi dan bersetuju untuk selesaikan segala masalah supaya kita sehaluan dalam pengurusan perjuangan dan pengurusan parti. Itulah hasilnya," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBS merangkap pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunasalam berkata, secara asasnya MoU itu adalah untuk mengukuhkan kolaborasi politik antara kedua-dua parti.

"Selain itu, kita mahu selesaikan isu utama dan berkepentingan yang memberi kesan kepada rakyat Sabah dan kita juga mahu berkongsi maklumat.

"Ini cuma permulaan, tetapi selepas penubuhan Majlis Kepimpinan Bersama, kita boleh laksanakan lebih banyak perkara.

"Tetapi sudah tentu kita menghala kepada PRN atau pilihan raya umum (PRU)," katanya.

Hadir sama menyaksikan majlis MoU itu ialah Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Pairin Kitingan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!