Kementerian Pertahanan pastikan projek siap ikut jadual

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertahanan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya dalam usaha memastikan projek-projek melibatkan kementerian itu berjalan dengan lancar.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya akan membuat pemantauan manakala Kementerian Kerja Raya pula membabitkan aspek teknikal dan sebagainya.

“Kita (Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya) ada mesyuarat secara berkala untuk melihat sesuatu projek, (sama ada) ikut jadual atau lewat ikut jadual dan bagaimana prestasi kontraktor juga.

“Memang cara kerajaan, semua projek Kementerian Kerja Raya akan laksana kerana ia agensi teknikal, kita (Kementerian Pertahanan) pula dari segi memantau projek berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Johor di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall, dekat sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kementeriannya sentiasa memantau pelaksanaan projek-projek berkaitannya susulan isu pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang lambat disiapkan.

Pada Selasa, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, kegagalan subkontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja berkaitan jubin, menjadi punca projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar lambat disiapkan mengikut jadual sebelum ini.

Susulan itu, ujarnya, proses untuk melantik subkontraktor baharu sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui proses tender terbuka, bagi meneruskan kerja-kerja tersebut

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan selain papan tanda projek dirobohkan.

Majlis pecah tanah kolam berkenaan disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018.

Fasiliti yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti mock up kapal, entry point bagi kemasukan melalui udara serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi itu, amat diperlukan anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman daripada domain maritim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!