Segera perkenal Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja - MTUC

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menyegerakan pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) susulan jumlah kemalangan yang direkodkan sempena Hari Raya Aidilfitri lalu agak tinggi.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, gesaan itu dibuat sebagai langkah proaktif untuk melindungi hak-hak pekerja terutamanya apabila melibat kemalangan jalan raya di luar waktu bekerja.

Ini kerana katanya, banyak bencana berlaku ke atas pekerja dalam kes tuntutan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) ditolak berikutan ia tidak diiktiraf sebagai bencana kerja.

“Perlindungan yang holistik dan komprehensif di luar waktu bekerja seperti ini perlu diperkenalkan seiring dengan hasrat kerajaan yang komited dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat meliputi pelbagai golongan.

“Kita perlu berganding bahu agar pewujudan satu lagi skim keselamatan sosial yang khusus dengan skop perlindungan yang lebih luas luar waktu bekerja. Di mana ia berupaya memberi perlindungan menerusi bayaran pampasan untuk rawatan perubatan, gantian pendapatan, dan sokongan kewangan kepada mereka yang terjejas.

“Sekiranya kerajaan merealisasikan suara rakyat ini, ia tidak hanya akan meningkatkan taraf kesejahteraan pekerja tetapi juga memanifestasikan usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyatnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, melalui pengenalan skim itu, ia juga selari dengan hasrat Malaysia dalam menjadi negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, New Zealand, Sweden dan Norway menjelang tempoh lima hingga lapan tahun dari sekarang.

"Ia jelas menunjukkan kesediaan Malaysia untuk mengadaptasi praktik terbaik dalam menyediakan perlindungan pekerja komprehensif yang tidak hanya memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan dengan mengurangkan beban kewangan ditanggung oleh masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, perlindungan bagi SKBBK juga seiring dengan Konsep 3K Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja yang dicetuskan oleh Menterinya, Steven Sim Chee Keong.

SKBBK merupakan manifestasi dalam mengutamakan konsep kebajikan dalam golongan pekerja melalui perlindungan tambahan terhadap keselamatan serta kesejahteraan pekerja yang lebih holistik di luar waktu bekerja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!