Pelet plastik kitar semula dikesan mengandungi bahan kimia - CAP

Mohideen menunjukkan pelet plastik kitar semula yang mengandungi bahan kimia.
Mohideen menunjukkan pelet plastik kitar semula yang mengandungi bahan kimia.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pelet plastik kitar semula di Malaysia dikesan mengandungi kandungan bahan kimia termasuk racun perosak, bahan kimia industri dan bahan toksik lain yang boleh membahayakan kesihatan manusia.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, data yang diterbitkan baru-baru ini dari 13 negara termasuk Malaysia mengenal pasti hampir 500 bahan kimia dalam pelet plastik kitar semula mengandungi racun.

Menurutnya, pelet dari Malaysia, sebanyak 123 bahan kimia dikesan dalam dua sampel yang dianalisis.

"Data itu amat relevan sekarang untuk makluman delegasi dari Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam rundingan Perjanjian Plastik Global di Ottawa, Kanada pada akhir bulan ini.

"Sebagai ahli International Pollutants Elimination Network (IPEN) yang merupakan suatu rangkaian global kumpulan berkepentingan awam yang berjuang untuk masa depan bebas toksik, CAP telah mengumpul plastik kitar semula (dipanggil pelet plastik) dan menghantarnya untuk analisa kandungan bahan kimia toksik.

"Ujian itu telah dijalankan oleh sekumpulan saintis di Sweden, Jerman dan Denmark dan data tersebut telah diterbitkan baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat CAP, di sini pada Khamis.

Mohideen menambah, dalam sampel pertama dari Malaysia, sebanyak 107 bahan kimia telah dikesan manakala dalam sampel kedua sebanyak 111 bahan kimia telah dikesan.

"Sejumlah 95 bahan kimia ini terdapat dalam kedua-dua sampel yang mana, daripada 30 bahan kimia yang dikesan pada kepekatan tertinggi, separuh adalah kesan dari peringkat pengeluaran pelbagai jenis plastik.

Artikel Berkaitan:

"30 bahan kimia ini juga termasuk beberapa bahan bioaktif, termasuk racun perosak seperti 'chlorpyrifos' dan 'farmaseutikal'. Di samping itu, terdapat tiga Hidrokarbon Aromatik Polisiklik (PAH)," katanya.

Jelas beliau, bahan kimia yang terdapat dalam plastik kitar semula mungkin mendedahkan kita kepada kanser, penyakit jantung, gangguan pembiakan, diabetes, obesiti dan keadaan kesihatan serius yang lain.

"Plastik dibuat dengan bahan kimia toksik, oleh itu, apabila plastik dikitar semula, maka bahan kimia ini berakhir di dalam bahan kitar semula. Kitar semula bukannya jalan keluar dari masalah plastik toksik. Banyak laporan sebelum ini mendapati bahawa kitar semula plastik adalah vektor untuk menyebarkan bahan kimia toksik.

"Plastik dibuat daripada kira-kira 16,000 bahan kimia, sekurang-kurang 25 peratus daripadanya diketahui toksik, dan bagi kebanyakan bahan kimia yang tinggal tiada maklumat tentang kesan kepada kesihatan manusia atau alam sekitar," ujar beliau.

Mohideen berkata, plastik kitar semula juga boleh mengandungi bahan cemar kimia daripada cara penggunaan plastik asal.

"Sebagai contoh, jika bekas plastik racun perosak dikitar semula, racun perosak toksik boleh berakhir di dalam bahan kitar semula. Selain itu, proses kitar semula plastik boleh mencipta bahan toksik baharu, menambahkan lebih banyak bahan kimia kepada plastik kitar semula.

"Ini bermakna pekerja di fasiliti kitar semula plastik, pengguna yang menggunakan produk plastik kitar semula, pekerja yang mengendalikan plastik kitar semula dan komuniti berhampiran kilang kitar semula serta operasi pelupusan sisa semuanya berisiko terdedah kepada pelbagai bahan kimia toksik," katanya.

Jelas beliau lagi, Perjanjian Plastik baharu akan menjadi instrumen penting untuk menangani bahan kimia toksik dalam plastik dalam pelbagai cara.

"Untuk berbuat demikian, adalah penting bahawa Perjanjian Plastik Global ini mengandungi peruntukan kawalan yang kukuh dan mengikat secara sah yang merangkumi penyingkiran bahan kimia toksik sepanjang kitaran hayat penuh plastik.

"Selain itu, ia juga melibatkan pendedahan wajib maklumat mengenai bahan kimia dalam plastik, yang boleh diakses oleh umum dan langkah untuk mengawal pengeluaran plastik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!