Malaysia gesa anggota UNEA teruskan aspirasi tamat pencemaran plastik

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menggesa semua negara anggota Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA) supaya meneruskan aspirasi untuk menamatkan pencemaran plastik.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pencemaran plastik adalah satu daripada isu paling mendesak di dunia dan merupakan krisis yang semakin kritikal yang berupaya membawa ancaman besar kepada ekosistem.

"Berdasarkan Resolusi 5/14 UNEA 5.2, Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC) sedang membangunkan instrumen antarabangsa yang mengikat secara sah mengenai pencemaran plastik.

"Justeru, kami menggesa semua negara anggota untuk mengingati aspirasi Resolusi 5/14 iaitu untuk menamatkan pencemaran plastik,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-enam (UNEA-6) di Nairobi, Kenya semalam.

Nik Nazmi juga menyatakan bahawa Malaysia komited sepenuhnya untuk memainkan peranan penting dalam menangani cabaran alam sekitar global dan telah mengambil pelbagai langkah untuk menyokong agenda biodiversiti global untuk generasi akan datang.

"Kami telah melaksanakan dasar dan inisiatif untuk mencapai kelestarian alam sekitar selaras dengan agenda pembangunan negara dan matlamat pembangunan mampan.

"Tindakan kami juga sejajar dengan komitmen di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim dan Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala yang lain,” katanya.

Memetik Perjanjian Paris sebagai contoh, Malaysia menurutnya berhasrat mengurangkan intensiti karbon seluruh ekonomi sebanyak 45 peratus pada 2030 berbanding paras yang dicatat pada 2005 sebagai Sumbangan Yang Ditentukan Negara.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, kami bercita-cita untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih-sifar paling awal menjelang 2050 di bawah Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) kebangsaan yang akan dimuktamadkan menjelang tahun ini,” katanya. - Bernama