Ibu kandung, waris Ean Razeef dicari

Ean Razeef kini berada dalam keadaan selamat bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Foto JKM
Ean Razeef kini berada dalam keadaan selamat bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Foto JKM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang bayi lelaki ditinggalkan ibu kandung selepas dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani (HSAH) Januari lalu.

Bayi yang dikenali, Ean Razeef Abdul Matin, 3 bulan, kini berada di tempat selamat dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pelindung Daerah Kuala Muda, Natroh Ahmad berkata, pihaknya kini sedang mengesan ibu kandung bayi berkenaan bagi tujuan daftar lewat kelahiran seperti dikehendaki Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Ean Razeef dilahirkan pada 18 Januari 2024 di HSAH oleh ibunya yang ketika itu dikenali sebagai Melani Irwan, 20-an, warganegara Indonesia.

"Setakat ini, kita masih mengesan waris sama ada ibu atau bapa kandung dan meminta mereka tampil segera,"katanya.

Menurut Natroh, maklumat awal mendapati ibu kandung bayi terbabit pernah tinggal di Taman Ria Jaya di sini, namun hasil tinjauan ke rumah berkenaan mendapati tiada kelibat wanita tersebut.

"Melani juga dikatakan telah bercadang mahu menyerahkan anaknya kepada keluarga gantian untuk dijadikan anak angkat.

"Bagaimanapun, penyerahan kepada keluarga angkat belum sempat dilaksanakan kerana ibu kandung telah melarikan diri atas faktor kemungkinan tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya memohon agar ibu kandung atau mana-mana individu yang mengenali waris bayi ini tampil ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda di sini untuk tindakan lanjut.

Panggilan juga boleh dibuat melalui talian 04-4204900 (Natroh) atau kiriman emel melalui natroh@jkm.gov.my.

Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi membantu mengesan ibu kandung atau waris bayi seterusnya memudahkan mahkamah membuat keputusan terbaik bagi penempatan dan kebajikan bayi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28