Dua misil bedil pesawat ukraine

Pesawat Ukraine International Airlines ditembak dengan dua peluru berpandu Iran dalam insiden minggu lalu. - Foto AFP
Pesawat Ukraine International Airlines ditembak dengan dua peluru berpandu Iran dalam insiden minggu lalu. - Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Satu lagi rakaman video baharu menunjukkan dua peluru berpandu Iran menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine dan mengorbankan kesemua 176 penumpang dalam insiden minggu lalu.

Menurut laporan New York Times, misil tersebut dilepaskan selang 30 saat dan ia sekali gus menjelaskan mengapa transponder pesawat tidak berfungsi kerana ia sedang meluru jatuh ke tanah selepas serangan pertama sebelum diserang buat kali kedua.

Insiden yang didakwa dirakam melalui kamera keselamatan atas bumbung sebuah kampung terletak lebih 6 kilometer (km) dari tapak ketenteraan Iran turut menunjukkan pesawat berkenaan terbakar dan melayang ke lapangan terbang Teheran sebelum meletup dan terhempas beberapa minit kemudian.

Susulan itu, Iran menafikan selama beberapa hari dakwaan Barat bahawa Boeing 737 telah ditembak oleh misil negaranya.

Semalam, badan kehakiman Iran mengumumkan penahanan beberapa individu yang dipercayai ada kaitan dengan insiden pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC). - AFP

Artikel Berkaitan: