Padah pandu BMW tanpa cukai jalan

JPJ Selangor menyita sebuah kereta BMW di Banting pada Rabu.
JPJ Selangor menyita sebuah kereta BMW di Banting pada Rabu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Tindakan seorang lelaki memandu kenderaan mewah jenis BMW 340i yang telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) sejak Disember lalu, membawa padah apabila kereta terbabit disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Banting pada Rabu.

Kenderaan terbabit ditahan JPJ Selangor kira-kira jam 10.15 pagi semasa sekatan jalan raya sempena Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, selain LKM tamat tempoh, kenderaan terbabit juga tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Kenderaan mewah itu dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun dalam perjalanan dari Banting ke Klang.

"Ketika ditahan alasan diberikan ialah dia yakin bahawa LKM itu masih hidup," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, kenderaan terbabit telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesalahan tidak memiliki insurans perlindungan kenderaan yang sah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 90 akta sama.

"Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!