KPM tidak halang sambutan Ponggal di sekolah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pihaknya tidak pernah menghalang perayaan Ponggal yang disambut masyarakat beragama Hindu diadakan di sekolah.

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, malah pihaknya menggalakkan penyertaan warga sekolah dalam semua aktiviti silang budaya yang dijalankan.

“Merujuk kepada surat KPM bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020, surat ini dikeluarkan bagi mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam penglibatan anak-anak mereka semasa sambutan perayaan tersebut.

“Kenyataan surat ini mengambil kira pendirian dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Selain itu, KPM turut menjelaskan bahawa sekolah adalah tempat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Budaya dan adat resam antara kaum perlu diketahui, difahami dan dihormati oleh semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru-guru dan murid-murid,” kata kenyataan itu.

Pesta Ponggal atau pesta menuai itu disambut oleh masyarakat India di negara ini sebagai tanda kesyukuran ke atas rezeki yang dilimpahkan dan berdoa untuk mendapat rezeki yang lebih baik tahun berikutnya.

Pada 13 Januari lalu, pekeliling dari Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa umat Islam boleh hadir ke perayaan Ponggal dengan syarat tidak terlibat dengan sebarang upacara keagamaan seperti memakai pakaian khas atau simbol agama penganut Hindu.

Artikel Berkaitan: