Padi NMR152 sudah ditanam di Kelantan

Varieti padi NMR152 mempunyai ketahanan berbanding jenis lain dan tempoh tuaian juga lebih singkat. Gambar hiasan
Varieti padi NMR152 mempunyai ketahanan berbanding jenis lain dan tempoh tuaian juga lebih singkat. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Varieti padi NMR152 atau lebih dikenali sebagai IS21 oleh pesawah sudah ditanam di Kelantan terutama di daerah Pasir Puteh dan Bachok.

Pegawai Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Wan Nur Hasyila Wan Suleiman bagaimanapun berkata, varieti IS21 sukar diperoleh di pasaran kerana tidak banyak pengeluar yang mengeluarkan benih itu.

Beliau memberitahu, benih jenis itu tidak seperti varieti MR297 yang boleh dikatakan dikeluarkan oleh semua pengeluar benih di negeri ini.

"Varieti MR297 menjadi pilihan petani jika ada di pasaran kerana mempunyai daya tahan terhadap beberapa jenis penyakit, tahan kemarau serta mempunyai hasil yang agak tinggi," katanya kepada Sinar Harian.

Wan Nur Hasyila memberitahu, dalam konteks kemarau, NMR152 mempunyai ketahanan berbanding jenis lain dan tempoh tuaian juga lebih singkat berbanding kebanyakan varieti biasa.

Tambah beliau, padi berkenaan ditanam dua kali setahun sama seperti jenis lain.

"Tuaian dilakukan antara April hingga Mei untuk musim kedua tahun lalu dan antara Oktober hingga November untuk musim pertama tahun ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Perak dengan kerjasama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kini dalam perancangan melaksanakan projek perintis tanaman padi di kawasan tanah terbiar, berkeluasan kira-kira lapan hektar di mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.

Artikel Berkaitan:

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kawasan tersebut akan ditanam dengan padi jenis NMR152, yang mampu mengeluarkan hasil sekitar lapan hingga 10 tan per hektar.

Padi berkenaan dihasilkan oleh Agensi Nuklear Malaysia dan mengambil masa selama 110 hari untuk dituai serta tahan dalam keadaan cuaca ekstrem, serangan penyakit dan kurang menggunakan air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!