Alamak Raya Lagi tular ke Jepun, De Fam terkejut sambutan positif

Alamak Raya Lagi merupakan lagu raya pertama kumpulan De Fam yang diinspirasikan daripada raya terkejut 2022. (Kanan: Cabaran tarian lagu Alamak Raya Lagi turut tular ke Jepun.)
Alamak Raya Lagi merupakan lagu raya pertama kumpulan De Fam yang diinspirasikan daripada raya terkejut 2022. (Kanan: Cabaran tarian lagu Alamak Raya Lagi turut tular ke Jepun.)
A
A
A

POPULARITI yang diterima lagu raya kumpulan De Fam, Alamak Raya Lagi sememangnya luar biasa.

Masakan tidak, dalam tempoh singkat, lagu berkenaan telah meraih lebih 15 juta tontonan di YouTube dan tular sehingga ke luar negara.

Selain pernah menjadi pilihan kumpulan wanita yang sedang meningkat naik di Korea Selatan, Tribe, cabaran tarian lagu Alamak Raya Lagi turut tular ke Jepun.

Mengakui terkejut dengan penerimaan positif itu, salah seorang anggota kumpulan De Fam, Azira Shafinaz berterima kasih kepada pendengar yang menyukai lagu raya pertama mereka.

"Sejak awal kami tidak buat penggalak lagu itu di media sosial, hebahan Alamak Raya Lagi berlaku secara semulajadi menerusi perkongsian demi perkongsian.

"Jadi tentu sekali kami terkejut bila lagu itu tular sehingga ke Jepun dan cabaran tarian lagu itu dibuat oleh kumpulan wanita K-pop, kami rasa terharu dengan penerimaan positif itu," katanya.

Azira berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala Filem Sheriff di Kuala Lumpur pada Selasa.

Meskipun mendapat maklum balas positif, lirik lagu itu tidak terlepas daripada pertikaian segelintir pihak yang merasakan Alamak Raya Lagi membawa aura yang negatif mengenai sambutan hari raya.

Artikel Berkaitan:

Menjelaskan perkara tersebut, bintang berusia 32 tahun itu berkata, lagu Alamak Raya Lagi sepatutnya dikeluarkan pada tahun lalu selepas raya terkejut pada tahun 2022.

Bagaimanapun disebabkan beberapa masalah, lagu tersebut hanya dapat dilancarkan pada tahun ini.

"Orang salah tafsir dengan lagu ini. Sebenarnya perkataan alamak ini bukan menyatakan tidak seronok beraya.

"Alamak Raya Lagi sebenarnya mengambil situasi raya terkejut pada tahun 2022. Kalau diamati liriknya, kebanyakan situasi sama seperti malam raya terkejut tahun itu.

"Jadi ada yang boleh kaitkan lagu itu dengan situasi yang berlaku pada raya dua tahun lalu. Bila kami keluarkan lagu itu, harapan kami agar pendengar boleh menikmati kerana ia lagu yang santai," jelasnya.

Setakat ini, lagu Alamak Raya Lagi sudah meraih lebih 15 juta tontonan di YouTube dan Azira sempat berkongsi khabar gembira sekiranya lagu itu melebih 20 juta tontonan.

"De Fam rancang nak buat rumah terbuka kalau lagu itu sudah melebihi 20 juta tontonan. Doa-doakan jadi kenyataan," akhirinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!