Bekalan cukup sepanjang Ramadan, Syawal bukti tadbir urus yang baik

Firdaus
Firdaus
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tiada gangguan bekalan ayam, telur dan daging pada Ramadan dan Syawal tahun ini membuktikan kejayaan Kerajaan Madani melaksanakan tadbir urus yang baik bagi memastikan keadaan terkawal.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Firdaus Shater berkata, umum mengetahui bahawa krisis makanan terutama membabitkan ayam dan telur ayam semakin meruncing kebelakangan ini.

Bagaimanapun katanya, setelah Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan penghujung tahun 2022, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengambil langkah drastik bagi mengatasinya.

"Antara lain dengan mengimport telur ayam bagi mencukupkan bekalan dalam negara di samping beberapa intervensi dan libat urus dengan pemegang taruh yang telah dijalankan sebagai persediaan.

"Alhamdulillah, dengan komitmen yang tinggi, bekalan ayam, telur ayam dan daging cukup sepanjang tahun 2023 dan sehingga April 2024 walaupun kerajaan telah menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam," jelasnya dalam satu kenyataan.

Dakwanya, lebih membanggakan apabila bekalan ketiga-tiga produk itu juga banyak di pasaran dan dijual pada harga yang murah ketika musim perayaan baru-baru ini.

"Amanah Kedah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kerana berjaya mengemudi kementerian beliau dengan cukup baik memasuki tahun yang kedua.

"Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan dan seluruh rantaian yang terlibat di atas komitmen yang tinggi dalam menyediakan sumber makanan buat rakyat pada harga yang mampu milik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!