Elektrik punca gangguan bekalan air di Paloh 3 - AKSB

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KOTA BHARU - Masalah air yang berlaku di Paloh 3, Gua Musang di sini berpunca daripada gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Paloh.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, masalah itu telah memberi kesan secara langsung kepada pengoperasian harian loji.

"Sebanyak 100 daripada 371 akaun pengguna di kawasan itu telah terlibat.

"LRA Paloh 3 yang berkapasiti mengeluarkan air bersih sebanyak 4 Juta Liter Sehari (JLH) tersebut dikesan mengalami gangguan bekalan elektrik selama hampir 18 jam sebagaimana rekod yang dicatat," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, untuk perancangan jangka panjang AKSB akan menyediakan sebuah generator khusus untuk musim perayaan.

Katanya, gangguan bekalan air yang berlaku di Gunong, Bachok, khususnya Taman Putri Saadong dan sekitar adalah bersifat berkala khususnya musim perayaan.

AKSB memberitahu, permintaan bekalan air yang terlalu tinggi bukan sahaja di Bachok, malah seluruh negeri.

"Punca bekalan air terputus adalah kerana bekalan air yang diterima daripada Loji Rawatan Air (LRA) Chicha telah menyusut berikutan penerobosan air masin di Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumbuh.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan itu menyebabkan melebihi kadar yang dibenarkan iaitu melebihi 250 ppm (parts per million). Hal ini menyebabkan pengambilan air mentah melalui telaga jejari Pasir Tumbuh yang membekalkan air mentah ke LRA Chicha terpaksa dikurangkan kepada 10 JLH daripada pengeluaran asal 15 JLH," katanya.

AKSB berkata, kebiasaannya, LRA Chicha dapat membekalkan air kepada Jajahan Bachok sehingga 12 JLH.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengalaman mandi sunat Aidilfitri di sungai akan menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh anak-anak perantau yang pulang menyambut lebaran di Paloh 3, Gua Musang.

Mana tidaknya, mereka terpaksa berbuat demikian selepas kawasan penempatan putus bekalan air sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan ini menarik nafas lega apabila hujan sekitar jam 2 petang yang ditadah bagi kegunaan mencuci pinggan dan mangkuk.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28