Israel terus sekat akses bantuan ke Gaza

Kepulan asap tebal memenuhi kawasan berhampiran pasar Firas di Bandar Gaza yang menjual pelbagai barangan keperluan dibedil pada minggu lalu.
Kepulan asap tebal memenuhi kawasan berhampiran pasar Firas di Bandar Gaza yang menjual pelbagai barangan keperluan dibedil pada minggu lalu.
A
A
A

GENEVA - “Israel menggunakan makanan sebagai ‘alat’ untuk memberi tekanan dan mengugut penduduk Palestin.”

Pendedahan itu dibuat kumpulan pemerhati hak asasi manusia, Euro-Med berpusat di Geneva menerusi laporan terbaharu diterbitkan pada Isnin.

Menurutnya, rejim Zionis terus menghalang penghantaran dan pengagihan bekalan bantuan ke Genting Gaza di tengah-tengah perang genosid yang sudah berlarutan tujuh bulan di wilayah terkepung itu.

“Pihak berkuasa Israel sengaja menyekat bantuan ke Bandar Gaza dan utara Gaza yang didiami kira-kira 300,000 penduduk Palestin. Sekatan ketat seperti itu berisiko memburukkan lagi krisis kebuluran di kawasan tersebut.

“Angka kematian akibat kelaparan dan penyakit dikhuatiri mengatasi jumlah korban kekejaman perang jika akses bantuan kemanusiaan terus disekat,” jelas laporan itu.

Sejak awal bulan lalu, rejim Tel Aviv hanya membenarkan kira-kira 169 trak bantuan memasuki Gaza melalui lintasan sempadan Kerem Shalom (Karem Abu Salem).

Penduduk Palestin beratur untuk membeli roti bersubsidi di sebuah kedai roti.
Penduduk Palestin beratur untuk membeli roti bersubsidi di sebuah kedai roti.

“Jumlah itu adalah kurang daripada 500 trak sehari ketika sebelum perang itu tercetus.

Artikel Berkaitan:

Kapasiti operasi di kedua-dua koridor darat yang menghubungkan ke Gaza juga semakin terhad,” menurut kandungan laporan tersebut.

Euro-Med turut mengkritik pihak berkuasa Israel kerana sengaja mengenakan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan memastikan ia tidak tiba pada masa yang tepat serta secara sistematik.

“Menteri ‘ekstremis’ Israel dengan angkuh menyatakan kelaparan dan bantuan akan turut digunakan sebagai ‘senjata’ di bawah kempen pencerobohan tersebut.

“Israel tidak lagi menghiraukan resolusi antarabangsa dan kewajipannya untuk mematuhi ketetapan tersebut,” ujar laporan itu yang merujuk kepada Konvensyen Genosid dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang diterima pakai pada 25 Mac lalu.

Seorang penduduk Palestin menunjukkan kotak mengandungi bekalan makanan asas diagihkan World Central Kitchen (WCK) di Rafah.
Seorang penduduk Palestin menunjukkan kotak mengandungi bekalan makanan asas diagihkan World Central Kitchen (WCK) di Rafah.

Resolusi 2728 itu menuntut pelaksanaan gencatan senjata segera dan keperluan mendesak membenarkan lebih banyak aliran bantuan ke enklaf tersebut.

Laporan tersebut juga mendakwa sekatan tidak berperikemanusiaan Israel telah menyebabkan kebanyakan penduduk kehilangan berat badan secara tidak sihat.

Putar belit Israel

Analisis terbaharu Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) dikeluarkan pada bulan lalu memberi amaran tentang situasi di Gaza yang disifatkan sudah memasuki fasa malapetaka dan bahagian utara diancam krisis kebuluran teruk.

Ia menyimpulkan bahawa kebuluran akan berlaku pada hujung bulan depan jika perang itu tidak berakhir dan sekatan terhadap bekalan bantuan penting masih berterusan.

Selain itu, laporan Euro-Med juga menyebut penduduk Palestin yang kelaparan sanggup memperjudikan nyawa mereka untuk menunggu ketibaan trak bantuan berhampiran pos pemeriksaan Israel yang telah menjadi ‘titik maut’ buat golongan tersebut.

Sejak beberapa minggu lalu, rejim Tel Aviv mendakwa kononnya terdapat perubahan ketara terhadap aliran bantuan kemanusiaan di Gaza setelah beberapa negara antarabangsa mempergiatkan usaha melalui misi udara yang turut dianggap berbahaya kepada penduduk Palestin.

Makanan yang disumbangkan badan amal buat mengisi perut penduduk Palestin.
Makanan yang disumbangkan badan amal buat mengisi perut penduduk Palestin.

“Jumlah trak yang dibenarkan memasuki wilayah tersebut terutama Bandar Gaza dan kawasan utara kekal sama meskipun pos pemeriksaan Erez/Beit Hanoun ditutup,” ujar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan sebagai cubaan untuk mengaburi mata komuniti antarabangsa.

Laporan Euro-Med bagaimanapun mendapati konvoi bantuan hanya dibenarkan menggunakan tiga laluan ke utara Gaza dan jalan tersebut didakwa amat teruk serta tiada jaminan keselamatan.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), usaha kemanusiaan itu turut berdepan halangan seperti proses pemeriksaan yang mengambil masa agak lama dan kesesakan di koridor Kerem Shalom yang menjadi antara faktor aliran bantuan ke enklaf tersebut amat perlahan. - Agensi

Info:

Sehingga 1 April lalu, data Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan seramai 32 termasuk 28 kanak-kanak meninggal dunia akibat malnutrisi dan dehidrasi di utara Gaza.

Baru-baru ini, Pertubuhan bukan kerajaan, Oxfam mendedahkan penduduk di utara Gaza bertahan untuk hidup dengan mengambil hanya 245 kalori sehari secara purata sejak Januari lalu.

Orang dewasa biasanya memerlukan antara 1,600-3,000 kalori sehari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28