X

Kindly register in order to view this article
!

Pakai pakaian berlubang ketika solat

JAGALAH aurat ketika menunaikan solat dengan sebaiknya kerana ia merupakan syarat sah solat.
A
A

USAI menunaikan solat, Fauzi Zulkifli (bukan nama sebenar) ternampak seluarnya berlubang pada bahagian lutut.

Melihat lubang sebesar 2 milimeter (mm) yang tidaklah sebesar mana, ia menerbitkan kegusaran dalam hati lelaki itu.

"Sah ke solat aku tadi? Aku baru perasan seluar ini berlubang, tapi pada bahagian lutut saja. Lagipun bukan besar mana."

Walaupun lelaki itu cuba membuang rasa waswas itu jauh-jauh, namun hatinya tidak keruan memikirkan jawapan kepada persoalan yang ada di benaknya.

Bolehkah solat dengan pakaian yang berlubang? Adakah sah solatnya atau perlu diulangi semula?

Sebelum menjawab soalan berkenaan, fahamilah bahawa menutup aurat merupakan syarat sah bagi solat.

Jika seseorang bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat, maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula.

Dari segi aurat lelaki, ia meliputi bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita pula seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafie.

Bagaimana pula dengan kadar penutupan aurat?

Ia memadai jika salah seorang daripada dua orang yang sedang bercakap melihat kepada temannya dan dia tidak nampak warna kulit pada bahagian aurat rakannya itu.

Bagaimana dengan kes seluar berlubang 2mm tadi? Batalkah solat lelaki tersebut?

Kadar 2mm itu dianggap sangat kecil hinggakan jika terdapat pada pakaian orang yang menunaikan solat iaitu pada bahagian auratnya, ia tidaklah membatalkan solat.

Jadi, tidak perlulah solat tadi diulangi.

Pun begitu, jagalah bab solat kita dengan sebaiknya kerana ia merupakan amalan pertama yang akan dihitung di akhirat kelak.

(Sumber: Portal soal jawab agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!