Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan buka semula ruang udara, operasi penerbangan

Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan membuka semula laluan udara dan operasi penerbangan di negara masing-masing. Foto Flightradar24
Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan membuka semula laluan udara dan operasi penerbangan di negara masing-masing. Foto Flightradar24
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan mengumumkan pembukaan semula ruang udara serta penyambungan operasi penerbangan di negara masing-masing.

Bagaimanapun Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan cakna dengan arahan daripada pihak berkuasa tempatan di negara yang terlibat.

"Dijangkakan terdapat kemungkinan kelewatan penerbangan apabila operasi disambung semula secara berperingkat dan disesuaikan dengan protokol baharu.

"Pengembara dari Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan gangguan jadual penerbangan dan disarankan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada 13 April melaporkan, syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), Air India, Qantas Australia termasuk Jerman, Lufthansa adalah antara syarikat penerbangan pertama yang mengubah laluan penerbangan buat sementara waktu kerana bimbang Iran akan menyerang Israel.

German Press Agency (dpa) melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, beliau berasakan Iran akan melancarkan serangan terhadap Israel 'lebih cepat daripada jangkaan'.

Biden bagaimanapun enggan menghuraikan perisikan rahsia Washington mengenai rancangan Teheran, lapor agensi itu.

Ancaman Iran terhadap Israel semakin meningkat berikutan serangan udara ke atas pekarangan kedutaan Iran di Syria pada 1 April lepas yang mengorbankan beberapa jeneral tentera.

Artikel Berkaitan:

Ahad lalu, Iran melancarkan lebih 200 dron, peluru berpandu balistik ke Israel dengan tujuan membalas dendam atas serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik yang membunuh tujuh pegawai Pengawal Revolusi termasuk dua komander kanan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28