Wartawan veteran terima Anugerah MyHero 4.0

Eng Ming menunjukkan anugerah MyHero 4.0 serta sijil pelantikan Duta Perpaduan yang diterimanya daripada Kementerian Perpaduan Negara pada Januari lalu.
Eng Ming menunjukkan anugerah MyHero 4.0 serta sijil pelantikan Duta Perpaduan yang diterimanya daripada Kementerian Perpaduan Negara pada Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Keberanian seorang wartawan veteran, Wee Eng Ming menyelamatkan nyawa dua kanak-kanak perempuan yang nyaris maut pada tahun lalu telah membuatkan beliau dipilih sebagai salah seorang pemenang Anugerah MyHero 4.0 baru-baru ini.

Beliau telah dicalonkan dan menerima anugerah tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI).

Menurut Eng Ming, peristiwa itu berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuching, Sarawak.

Ketika melalui salah satu kawasan lot komersial, beliau melihat pemandu lain memperlahankan kenderaan serta menggunakan telefon pintar untuk merakam gambar sesuatu.

“Apabila saya mendongak ke atas, saya amat terkejut kerana melihat dua kanak-kanak bermain di luar tingkap unit kedai di tingkat tiga.

“Tanpa membuang masa, saya terus memasuki blok komersial itu dan membantu dua kanak-kanak berkenaan yang mungkin boleh maut jika terjatuh dari aras tersebut.

“ Saya mengetuk pintu rumah dua kanak-kanak itu sehingga ibunya menjawab panggilan saya. Saya mengarahkannya untuk menangkap anak-anaknya dan dibawa masuk ke dalam (rumah),” kata Eng Ming kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tambah Eng Ming, sebagai seorang wartawan, beliau berusaha memberikan sumbangan yang terbaik dalam membantu masyarakat tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan ke atas KLSCCCI yang menghargai peranannya itu.

Malah, beliau turut dinamakan sebagai ‘Duta Perpaduan’ sempena anugerah itu mahu terus melakukan aktiviti membantu orang ramai.

Mengulas lanjut kejadian itu, Eng Ming berkata, beliau telah menasihatkan ibu kanak-kanak berkenaan untuk memasang pagar keselamatan pada tingkap, namun beliau kecewa apabila melihat tiada apa-apa yang dilakukan semasa beliau melakukan lawatan susulan tidak lama kemudian.

Beliau kemudian memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan telah menghantar seorang pegawainya untuk melawat keluarga itu untuk lebih memahami keadaan serta memberi kaunseling kepada ibu bapa.