Ibu maut, kereta dipandu anak langgar belakang lori

Keadaan kereta Proton Wira yang remuk akibat kemalangan tersebut menyebabkan seorang wanita warga emas maut. Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta Proton Wira yang remuk akibat kemalangan tersebut menyebabkan seorang wanita warga emas maut. Foto ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Perjalanan pulang sebuah keluarga selepas bercuti sempena Aidilfitri bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 37 dekat Lingkaran Tengah Utama (LTU) hala Lipis di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, Sharifah Abu Bakar, 69, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan lori.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pemandu lori iaitu seorang lelaki berusia 51 tahun dari Gua Musang menuju ke sebuah kilang di Padang Tengku di sini untuk menghantar muatan kayu getah.

"Kereta Proton Wira yang dipandu lelaki bersama ibunya serta isteri dan tiga anak mereka dari Kampung Labok, Machang, Kelantan dalam perjalanan pulang ke Puncak Alam, Selangor setelah selesai cuti raya.

"Kedua-dua kenderaan terlibat bergerak sama arah dan menghala ke Lipis.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, kemalangan itu menyebabkan penumpang bahagian hadapan iaitu wanita warga emas meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri serta tiga anak dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kita memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!