Era peralihan kuasa Mahathir-Anwar bermula

Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim
Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim
A
A
A

MENYELUSURI ciapan komen di pelbagai laman Facebook dan portal, dapat dilihat betapa ramainya netizen yang menyambut baik pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berundur bila-bila masa dari sekarang.

Ia satu signal yang memudahkan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk memanggil satu mesyuarat khas dan menetapkan tarikh rasmi pengunduran PM7.

Indikasi ditunjukkan sebilangan besar rakyat turut mencerminkan betapa mereka semua sudah bersedia untuk menyaksikan dan melalui era peralihan kuasa Mahathir-Anwar.

Pengunduran Dr Mahathir dalam masa terdekat juga bukan sekadar untuk menyelamatkan PH semata-mata, tetapi memberi suatu nafas baru kepada tanah air. Fokusnya tetap tanah air tercinta.

Rakyat akan melihat tempoh dua tahun yang diberikan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim yang berakhir Mei 2020, adalah satu agenda integriti dalam menepati sebuah janji.

Ia satu nilai yang sangat positif untuk Dr Mahathir dalam mengakhiri karier politiknya secara terhormat.

Gambar yang dimuat naik Anwar di Facebook miliknya memaparkan pertemuan dengan Dr Mahathir.
Gambar yang dimuat naik Anwar di Facebook miliknya memaparkan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Rakyat juga dijangka akan meraikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8, juga selaku sosok yang akan menunaikan Harapan Rakyat dengan sebaiknya.

Detik Peralihan Kuasa Mei 2020 adalah bertepatan demi survival ekonomi dan sosial negara ke arah yang lebih mapan, seterusnya pelaksanaan Reformasi yang tuntas.

Anwar juga sudah bersedia memimpin negara ini untuk kembali menjadi Harimau Ekonomi Asia sepertimana yang pernah beliau lakukan ketika menjadi Menteri Kewangan dan Pemangku Perdana Menteri suatu masa dulu.

Inilah masanya, inilah ruang dan peluang untuk Anwar mengembalikan kepercayaan dan harapan rakyat kepadanya sejak sekian lama. Dipulangkan dalam bentuk merakyatkan negara di sebuah negara rakyat.

Ayuh bersama kita bersatu merapatkan saf perpaduan sebagai sebuah masyarakat madani, masyarakat yang beradab dalam membangun, menjalani dan memaknai kehidupan yang menantikan detik penting permulaan era Reformasi sebenar. Era Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Rakyat.

* Edy Noor Reduan ialah aktivis blogger