Penunggang motosikal maut nahas dua kenderaan

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit - Foto: IPD Kluang
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit - Foto: IPD Kluang
A
A
A

KLUANG – Gara-gara hilang kawalan ketika menunggang motosikal, seorang lelaki maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 103, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan daripada orang awam pada jam 3.15 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan terbabit melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki tiga sekeluarga dengan sebuah motosikal jenis Kawasaki EX250.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Kawasaki EX250 dari arah Mersing ke Kluang hilang kawalan ketika melalui KM 103 terbabit dan menyebabkannya terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya berlaku perlanggaran dengan kereta jenis Proton Wira yang sedang dalam perjalanan dari arah Kluang menghala ke Mersing.

“Penunggang motosikal jenis Kawasaki EX250 yang beralamat di Kluang itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami dalam perlanggaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan kerosakan di bahagian hadapan kereta jenis Proton Wira sementara motosikal jenis Kawasaki EX250 mengalami kerosakan di bahagian kiri manakala pemandu serta penumpang bagi kereta jenis Proton Wira, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: