Lembam bukan halangan bekas perenang OKU berjaya

Anas
Anas
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas perenang negara orang kurang upaya (OKU), Anas Zul Amirul Sidi yang mengalami masalah lembam tidak menjadikan kekurangan dialami sebagai halangan untuk berjaya dalam kehidupan.

Antara kejayaan diperoleh beliau adalah mendapat pingat emas di Para ASEAN Kuala Lumpur (KL) 2017 dengan pecah rekod baharu, catatan masa 58 saat bagi kategori gaya bebas 100 meter dan melayakkan diri ke Final World Series di Brisbane, Australia 2019 dan ketika ini menjadi jurulatih renang di Singapura.

Anas berkata, di sebalik kejayaan itu, pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi terutamanya dari segi pembelajaran dan pergaulan bersama rakan-rakan kerana mempunyai masalah untuk berkomunikasi.

Beliau mengakui, kekurangan yang ada pada diri menyebabkan beliau kurang yakin untuk berhadapan dengan orang ramai.

Anas bersama anak dan isteri.
Anas bersama anak dan isteri.

“Sampai sekarang saya kurang kawan sebab sangat sukar untuk saya menggunakan bahasa pertuturan yang tersusun dan mudah difahami orang lain. Saya tidak pandai susun ayat. Kata lain, orang faham lain.

“Memang rasa rendah diri sangat bila berada di situasi tersebut sehingga kadang kala saya mengambil keputusan untuk tidak bergaul dengan kawan-kawan,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Katanya, tiada sijil akademik juga menyebabkan beliau sukar untuk menceburi bidang lain dan hanya fokus kepada sukan renang semata-mata.

Artikel Berkaitan:

“Saya hanya ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), jadi sangat sukar untuk mendapatkan pekerjaan lain apatah lagi yang menawarkan gaji sekurang-kurangnya RM1,800 sebulan.

“Walaupun orang macam kami ini nampak normal tetapi hidup penuh cabaran dari semua hal. Banyak yang perlu dilalui terutamanya dalam membina kerjaya,” ujarnya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu bagaimanapun bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat memahami dan sentiasa memberi semangat untuk terus berusaha.

“Saya menjadi perenang negara pun disebabkan sokongan keluarga yang mana dilatih oleh ayah sendiri. Jadi, lebih mudah bagi saya untuk berlatih sehingga memperoleh beberapa kejayaan.

“Selain itu, semangat yang diberikan oleh isteri menyebabkan saya sentiasa bersemangat. Alhamdulillah, sekarang saya diberi peluang untuk menjadi jurulatih renang bagi anak- anak golongan elit di Singapura,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!