Penjaga si bulus kurang upaya

Nur Hanariawati dan suaminya, Mohd Baharim bersama kucing kurang upaya mereka.
Nur Hanariawati dan suaminya, Mohd Baharim bersama kucing kurang upaya mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri sanggup menghabiskan RM6,000 sebulan demi menyelamatkan dan memelihara 28 kucing jalanan kurang upaya kerana cintakan haiwan.

Suri rumah, Nur Hanariawati Mohd Najib, 44, berkata, perbelanjaan itu termasuk kos rawatan, ubat-ubatan, makanan kering dan basah, susu serta lampin pakai buang.

“Semuanya bermula pada 2022 apabila melihat satu hantaran di Facebook memaparkan kucing cedera dilanggar dan memerlukan rawatan. Kami tergerak hati nak tolong kerana tiada yang berminat untuk bantu.

“Itu merupakan kucing pertama yang kami selamatkan dan dia masih ada bersama kami sehingga sekarang, namanya Suri,” katanya kepada Sinar Ahad.

Waktu untuk menguruskan kesemua 28 kucing itu mengambil masa lebih kurang 8 jam sehari termasuk makan, minum dan proses membuang air besar atau kecil.
Waktu untuk menguruskan kesemua 28 kucing itu mengambil masa lebih kurang 8 jam sehari termasuk makan, minum dan proses membuang air besar atau kecil.

Tambah Nur Hanariawati, semua kucing yang diselamatkan mengalami sakit berbeza iaitu lumpuh, buta, kudung dan masalah saraf serta bergantung dengan lampin pakai buang setiap hari.

Ujarnya, waktu untuk menguruskan kesemua 28 kucing itu mengambil masa lebih kurang 8 jam sehari termasuk makan, minum dan proses membuang air besar atau kecil.

“Setiap hari saya dan suami, Mohd Baharim Abu Bakar, 46, melakukan rutin sama iaitu bermula jam 8 pagi kucing-kucing itu akan diberi makan dan selepas satu jam perlu bantu membuang najis dan menukar lampin pakai buang.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan kucing kurang upaya ini tiada daya kawalan membuang najis sendiri, jadi kami merujuk kepada doktor veterinar untuk mengetahui kaedah yang betul untuk mengurus mereka,” jelas Nur Hanariawati.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua perbelanjaan bulanan menggunakan wang persendirian tetapi kutipan sumbangan akan dilakukan daripada pengikut di TikTok sekiranya kos rawatan melebihi RM3,000.

Menurutnya, penerimaan orang sekeliling terhadap minat mereka juga positif kerana semua kucing tidak membuat bunyi bising dan penjagaan kebersihan memang dititikberatkan.

“Pembuangan najis dan lampin mereka diuruskan dengan rapi supaya tidak mengeluarkan bau yang kurang senang.

“Kalau dari segi penerimaan keluarga pula, mereka sudah sedia maklum kami memang menjaga dan menyelamatkan kucing kurang bernasib baik.

“Jadi tiada sebarang masalah dengan orang terdekat, kami sudah memelihara kucing (normal) dah lama sebelum berjinak dengan menyelamatkan kucing kurang upaya menjadikan jumlah keseluruhan 68 ekor sekarang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!