Wan Zahiruddin pakar baiki sofa, perabot lama

Wan Mohd Zahiruddin menunjukkan sofa yang siap dibaiki dan akan dihantar kepada pelanggan.
Wan Mohd Zahiruddin menunjukkan sofa yang siap dibaiki dan akan dihantar kepada pelanggan.
A
A
A

KOTA BHARU - Membaiki perabot atau kerusi mewah mungkin dianggap mudah oleh individu tertentu kerana sudah mempunyai struktur dan tidak menggunakan banyak bahan.

Bagaimanapun, tukang kerusi dan perabot, Wan Mohd Zahiruddin Wan Sidik, 27, menafikan anggapan itu kerana ia bergantung keadaan kerosakan dan permintaan pelanggan.

Katanya, antara perkara paling sukar ialah teknik mengukur dan pemotongan kain gantian pada perabot atau sofa yang dibaiki.

“Kesilapan kecil mengukur menyebabkan jahitan tidak sekata dengan bentuk perabot atau sofa,” katanya.

Wan Mohd Zahiruddin menjahit sarung sofa yang akan dibaiki.
Wan Mohd Zahiruddin menjahit sarung sofa yang akan dibaiki.

Menurut bapa kepada dua anak itu, pengalaman bekerja selama empat tahun dengan bapa mertua di Melaka membuka peluang rezeki dalam bidang itu walaupun pada mulanya agak sukar memulakannya.

Jelasnya, kepulangannya di Kampung Kubang Laka, Peringat kira-kira tiga tahun lalu hanya untuk mencari pekerjaan lain yang boleh memberi rezeki namun gagal dan akhirnya terpaksa memilih membaiki perabot untuk menyara anak dan isteri.

“Alhamdulillah saya pada mulanya hanya baiki sofa yang rosak di rumah ibu dan berkongsi kegembiraan di media sosial.

Artikel Berkaitan:

“Selepas itu ada saudara dan rakan-rakan terdekat yang meminta saya membaiki kerusi atau sofa mereka,” katanya.

Berkongsi pengalamannya membaiki sofa, kata Wan Mohd Zahiruddin, ada perabot yang hanya menggunakan lebihan span, perca kain atau fiber yang langsung tidak berkualiti.

Jelasnya lagi, biasanya lebihan itu ditemui dalam sofa yang berharga murah.

Katanya, membaiki sofa atau kerusi sebenarnya menjadikannya lebih tahan lama kerana pemiliknya boleh memilih lebih banyak material gantian.

Skru sofa dibuka bagi memudahkan proses pembaikan.
Skru sofa dibuka bagi memudahkan proses pembaikan.

“Jika ada bajet lebih, mereka boleh menambah kayu lapis atau spring tahan lasak selain kain berkualiti tinggi. Semua itu boleh tahan sekurang-kurangnya sepuluh tahun,” katanya.

Anak kedua daripada lapan beradik itu memberitahu, material gantian seperti kain dan span yang digunakan dibeli dari kilang di Shah Alam, Johor dan Pulau Pinang.

“Banyak material boleh diganti termasuk kain baldu, bercorak atau anti cakar,” katanya.

Tambah Wan Mohd Zahiruddin, harga baik pulih berdasarkan pada gred bahan berkenaan selain tambahan besi, kayu dan span.

“Buat masa ini, saya hanya mempunyai seorang pembantu, tetapi mempunyai impian untuk membuka kilang yang dilengkapi mesin lebih besar,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!