Kerajaan negeri beri keutamaan naik taraf jalan raya bermasalah

Wan Rosdy (enam dari kanan) bersama tetamu yang hadir antaranya Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tujuh dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan.
Wan Rosdy (enam dari kanan) bersama tetamu yang hadir antaranya Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tujuh dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan.
A
A
A

LIPIS - Kerajaan negeri akan memberikan keutamaan kepada mana-mana laluan yang bermasalah untuk dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara laluan terbabit adalah Laluan FT012 Jalan Kuantan-Segamat.

Menurutnya, laluan itu akan dinaik taraf menerusi peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Baru-baru ini kita telah dapat sedikit peruntukan daripada kerajaan Persekutuan walaupun kita minta banyak, kita dapat lebih kurang 30 peratus daripada apa yang dipohon.

“Bagaimanapun saya telah maklumkan kepada pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk melihat keadaan di mana tempat yang selalu menjadi rintangan atau masalah kepada pengguna.

“Saya fikir Jalan Kuantan-Segamat adalah salah satu tempat yang dalam perhatian pihak JKR dan peruntukan 30 peratus itu untuk (kerja-kerja) naik taraf dan Jalan Kuantan-Segamat akan diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menafikan bahawa tiada pemantauan dilakukan oleh pihak berwajib mengenai pengguna yang melalui jambatan Bailey di laluan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Ada pemantauan tapi disebabkan pergerakan bumi akibat hujan lebat dan sebagainya. Nak kata tak ada pemantauan itu tak betul, ada pemantauan dijalankan,” tambahnya lagi.

Sebelum itu, jambatan Bailey bagi menggantikan jalan utama Laluan FT012, Jalan Kuantan-Segamat telah dibuka pada 27 Januari selepas mendapan tanah dan tanah runtuh berlaku di laluan berkenaan.