Lelaki maut, motosikal rempuh SUV

Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah SUV dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja pada Sabtu. - Foto: PDRM
Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah SUV dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja pada Sabtu. - Foto: PDRM
A
A
A

SETIU - Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 75, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Afandi Hussin memaklumkan mangsa, Mohamad Zainal Ali, 34, yang merupakan pekerja kontrak maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian leher.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 5.10 petang melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah SUV jenis Honda HR-V.

Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan melibatkan motosikal dan SUV di Kilometer 75, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja pada Sabtu. - Foto: PDRM
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan melibatkan motosikal dan SUV di Kilometer 75, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja pada Sabtu. - Foto: PDRM

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari Pasir Putih, Kelantan menghala ke Kampung Putera Jaya, Setiu. Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa telah merempuh sebuah SUV yang dipandu seorang guru bersama lima penumpang lain ketika menyeberangi laluan utama.

"Akibat rempuhan itu, mangsa parah di bahagian leher dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang SUV terbabit hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian badan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Afandi berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu bagi tindakan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Afandi turut menasihatkan supaya orang ramai sentiasa berhati-hati ketika memandu berikutan keadaan jalan raya yang sesak sewaktu musim perayaan Aidilfitri.