Kerajaan Thailand pantau suasana tegang Israel-Iran

Srettha Thavisin. Foto AFP
Srettha Thavisin. Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Kerajaan Thailand memantau rapi keadaan di Asia Barat berikutan meningkatnya ketegangan antara Israel dan Iran.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berkata, semua warga Thailand yang tinggal di rantau itu digesa supaya peka dengan segala kemungkinan.

"Saya mengikuti keadaan di Asia Barat dengan rapi dan perhatian tertumpu terutamanya laporan peningkatan ketegangan antara Israel dan Iran.

"Saya menggesa semua rakyat Thailand supaya sentiasa berjaga-jaga sekiranya ada keadaan kecemasan dan mengikuti rapat pengumuman daripada kedutaan kita di rantau itu,” katanya menerusi hantaran di lawan X hari ini.

Terdapat laporan awal beberapa negara termasuk United Kingdom, Rusia dan Amerika Syarikat telah mengeluarkan nasihat perjalanan ke Israel dan rantau itu kerana kemungkinan tindak balas ketenteraan Iran terhadap serangan Israel ke atas kedutaannya di Damsyik.

Asia Barat masih tegang selepas Israel tidak mengendahkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya menghentikan kempen genosidnya di Gaza dengan sejumlah besar daripada 2.3 juta penduduk di Gaza di ambang kebuluran. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: