Masalah kesesakan masih hantui penduduk Bayan Baru

Masalah kesesakan jalan raya yang menghantui penduduk Bayan Baru sejak 16 tahun lalu.
Masalah kesesakan jalan raya yang menghantui penduduk Bayan Baru sejak 16 tahun lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin digesa menjelaskan langkah penyelesaian untuk masalah kesesakan jalan raya yang semakin serius di Bayan Baru ketika ini.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, Tze Tzin telah dipilih menjadi wakil rakyat Bayan Baru sejak tiga penggal lalu sejak 2013 namun masalah kesesakan di kawasannya tidak pernah diselesaikannya.

Menurutnya, penduduk juga mendakwa bahawa masalah yang telah lama membelenggu mereka itu langsung tidak diselesaikan oleh mereka bertanggungjawab termasuk Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang terlibat.

"Tze Tzin dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada 2008 dan kemudiannya dilantik sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru selama tiga penggal sejak tahun 2013, namun masalah kesesakan jalan raya yang telah menghantui penduduk Bayan Baru selama 16 tahun ini bukan sahaja tidak ada penambahbaikan, tetapi menjadi semakin serius.

"Setiap hari rakyat terperangkap dalam kesesakan teruk, namun masalah itu tidak diambil berat atau tindakan susulan oleh mana-mana peringkat wakil rakyat atau ahli majlis di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tong Keong
Tong Keong

Ujar Tong Keong, cita-cita Tze Tzin untuk menjadikan Bayan Baru sebuah bandar bertaraf antarabangsa tidak akan menjadi kenyataan sekiranya masalah utama di kawasan itu tidak diselesaikan.

"April lalu, beliau mempromosikan perkhidmatan e-hailing di Bayan Baru selepas empat bulan beliau mengumumkan memperluaskan kawasan perkhidmatan dengan tujuan mengurangkan masalah kesesakan jalan raya. Persoalannya, adakah ia akan berkesan untuk menangani masalah berkenaan?

Artikel Berkaitan:

"Selama 10 tahun, saya berpendapat, tiada strategi yang baik untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di kawasan Bayan Baru. Perkhidmatan e-hailing yang dilancarkan beliau sekadar menyiapkan ‘kerja rumah’ tetapi tidak dapat membantu penduduk Bayan Baru keluar daripada belenggu kesesakan lalu lintas ini," tambah beliau lagi.

Tong Keong berharap, Tze Tzin dapat meluangkan masa mengendali isu-isu kehidupan rakyat yang belum diselesaikan agar tidak mengecewakan rakyat di kawasan Bayan Baru.

"Masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius ini telah memberi impak besar kepada kualiti kehidupan rakyat. Masalah ini tidak boleh dipandang rendah.

"Oleh itu, saya berharap, Tze Tzin dan ADUN di kawasan Bayan Baru, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan dapat bersama-sama merangka rancangan yang menyeluruh dan mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di situ.

"Saya juga berharap jabatan kerajaan di semua peringkat dapat memperkukuhkan kesinambungan perkhidmatan, mengoptimakan rangkaian pengangkutan, meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam dan menggalakkan pembangunan sistem pengangkutan bandar yang mampan untuk kebajikan rakyat," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28