'Jem' luar biasa! 18 jam redah kesesakan balik raya

Aliran trafik mula bergerak perlahan pada jam 7.45 malam berikutan orang ramai mula pulang ke kediaman masing-masing selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, ketika tinjauan di Plaza Tol Gombak menuju pusat bandar hari ini. Foto Bernama
Aliran trafik mula bergerak perlahan pada jam 7.45 malam berikutan orang ramai mula pulang ke kediaman masing-masing selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, ketika tinjauan di Plaza Tol Gombak menuju pusat bandar hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap tahun rakyat Malaysia terpaksa menempuh perjalanan yang panjang melebihi 10 jam lamanya tatkala menjelang Aidilfitri.

Tempoh perjalanan menjadi panjang disebabkan oleh masalah kesesakan lalu lintas akibat pertambahan kenderaan di atas jalan raya.

Jumlahnya, menjadi dua atau tiga kali ganda berbanding hari biasa bergantung kepada jarak destinasi yang hendak dituju.

Tempoh perjalanan tersebut tidak ubah seperti menaiki pesawat dari Malaysia ke kota London yang mengambil masa kurang lebih 13 jam!

Tidak kira sama ada untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke ibu kota selepas berhari raya bersama keluarga.

Begitulah yang dihadapi oleh seorang pekerja swasta, Rashlawaty Raieh yang terpaksa menempuh kesesakan selama 18 jam sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Kok Lanas, Kelantan menuju ke Shah Alam, Selangor.

Katanya, dia menaiki bas dari Terminal Kok Lanas pada 11:30 malam pada 13 April 2024 dan tiba di Terminal Shah Alam pada pukul 5:30 petang, 14 April 2024.

"Oleh sebab terlalu lama di dalam bas, badan sudah mula sakit-sakit, ditambah pula dengan umur yang semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Beginilah situasi anak-anak perantau sepanjang musim perayaan," kongsinya pada satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Luar biasa!

Sementara itu, seorang anak perantau berkongsi pengalaman menempuh perjalanan yang panjang untuk pulang ke ibu kota.

Pekerja swasta, Haikal Azizi, menyifatkan kesesakan pulang ke Rawang, Selangor pada tahun ini sungguh luar biasa.

Mana tidaknya, kebiasaan, perjalanannya dari Kota Bharu Kelantan, hanya mengambil masa sembilan jam sebaliknya pada Jumaat lepas dia mengambil masa hingga 15 jam.

"Saya dan isteri bertolak dari Kota Bharu pada 8 malam pada hari Jumaat dan tiba di Rawang kira-kira 11:30 pagi keesokannya (Sabtu)," ujarnya.

Katanya lagi, pada pemerhatiannya berlaku kesesakan kerana kebanyakan laluan di Kelantan dijadikan satu lorong satu hala hingga perjalanan menjadi sesak.

"Banyak laluan yang 'jem' antaranya di laluan Machang, Gua Musang, Raub, Bentong dan Gombak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, menurut Sakinah Hamid pula, dia tidak menyangka perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke Setapak, Kuala Lumpur yang sepatutnya mengambil masa tidak lebih dari empat jam berganda kepada lapan jam akibat kesesakan yang dihadapi.

"Tidak pernah berlaku lagi sebelum ini kesesakan yang berganda-ganda ini, hinggakan tandas awam pun 'jem'," kata pekerja swasta berkenaan kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!