Desakan letak jawatan ganggu tugas ahli Parlimen - Syed Abu Hussin

Syed Abu Hussin (kiri) ketika melawat rumah seorang penduduk ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Lubok, Trong di sini pada Ahad.
Syed Abu Hussin (kiri) ketika melawat rumah seorang penduduk ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Lubok, Trong di sini pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Desakan supaya enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong kerajaan supaya meletakkan jawatan disifatkan mengganggu tugas mereka selaku wakil rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal berkata, beberapa siri kenyataan sejak 16 Februari lalu terutama oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris disifatkan tidak wajar dan memberi gambaran negatif kepada rakyat.

Menurutnya, kesemua Ahli Parlimen yang dimaksudkan masih sah menjalankan tugas kerana tidak pernah dilucutkan jawatan mengikut lunas undang-undang.

"Saya tak kisah apa keputusan yang dibuat (oleh parti) cuma kenyataan-kenyataan Ketua Penerangan Bersatu seolah-olah sambung menyambung seolah-olah mengugut, menghalang dan menyusahkan ahli-ahli Parlimen kami untuk menjalankan tugas.

"Semua kenyataan dikeluarkan tidak berperlembagaan, tidak mengikut peraturan dan berbentuk hasutan yang menghalang kami ahli Parlimen yang ada locus standi diberikan oleh perlembagaan," katanya ketika ditemui melawat rumah seorang penduduk ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Lubok, Trong di sini pada Ahad.

Syed Abu Hussin berkata, parti sepatutnya bertindak mengikut proses dan peraturan yang ditetapkan, bukan membuat keputusan menerusi kenyataan akhbar.

Beliau turut bertegas tidak akan tunduk dengan sebarang desakan untuk meletakkan jawatan selagi tiada keputusan rasmi diterima mengenai perkara tersebut.

"Jika Parlimen sudah menyatakan bahawasanya saya hilang hak, saya patuh. Tapi sekarang saya masih lagi ada hak, masih lagi ahli Parlimen, masih dapat elaun.

Artikel Berkaitan:

"Kenapa ada pihak yang hendak menghalang dan menghasut rakyat membantah kami sebagai ahli Parlimen? Itu tidak berperlembagaan. Ini yang saya tidak puas hati," katanya.

Sementara itu, Syed Abu Hussin turut mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana mengganggu tugas ahli Parlimen itu merupakan satu kesalahan.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang surat diterima daripada Bersatu mengenai statusnya sebagai wakil rakyat.

Pada 12 April lalu, Razali dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keahlian wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tergugur dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Menurutnya, mereka yang terdiri daripada enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti berkenaan.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz, lima lagi ahli Parlimen yang mengisytiharkan penyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Mac lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28