Ringgit dijangka kekal lemah, didagangkan sekitar 4.76 minggu depan

Ringgit dijangka lemah dan didagangkan sekitar RM4.76 berbanding dolar US minggu depan. Foto hiasan
Ringgit dijangka lemah dan didagangkan sekitar RM4.76 berbanding dolar US minggu depan. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka lemah dan didagangkan sekitar RM4.76 berbanding dolar US minggu depan di hadapan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai inflasi dan perangkaan jualan runcit AS.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sebilangan besar pegawai Fed dijadualkan akan terlibat dalam mesyuarat itu pada minggu depan, yang mana, beliau berpendapat akan mencerminkan mesej yang sama iaitu inflasi AS masih menjadi kebimbangan dan mereka perlu diyakinkan sama ada ia boleh mencapai matlamat 2 peratus bank pusat AS itu.

Angka jualan runcit AS akan diumumkan menjelang Isnin nanti dengan anggaran konsensus mengunjurkan ia akan berkembang 0.3 peratus dari bulan ke bulan pada Mac berbanding 0.6 peratus sebelumnya.

"Kemungkinan, keputusan keluaran dalam negara kasar suku pertama 2024 China boleh menjadi titik data yang akan menggerakkan pasaran kerana pelabur ingin mengukur sama ada ekonomi global kedua terbesar itu mampu berkembang sekitar 5 peratus pada 2024. Anggaran konsensus menunjukkan ekonomi China berkembang 5.0 peratus dari tahun ke tahun pada suku pertama 2024,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata, indeks harga pengguna Kesatuan Eropah juga menarik untuk dilihat dengan anggaran yang menunjukkan bahawa kadar inflasi akan menyederhana lagi kepada 2.4 peratus pada Mac, memberi petanda bahawa Bank Pusat Eropah boleh berada di landasan yang betul dalam mengurangi kadar faedah tahun ini.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit adalah lebih rendah kepada 4.7680/7730 berbanding dolar US daripada 4.7460/7490 yang disaksikan pada minggu sebelum ini. Ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Ia menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1098/1133 daripada 3.1341/1363, meningkat berbanding pound British kepada 5.9562/9624 daripada 5.9956/9994 dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0808/08643 daripada 5.0808/08643.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang Asean kecuali dolar Singapura.

Artikel Berkaitan:

Ia susut kepada 13.0831/13.1036 berbanding baht Thailand daripada 12.9495/12.9641 yang dicatatkan semasa Jumaat minggu sebelum ini, turun berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.439/8 dan menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 300.8/301.3 daripada 299.4/299.8.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.5090/5129 daripada 3.5208/5233. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!