Zii Jia sertai skuad negara ke Piala Thomas 2024

Zii Jia tersenarai dalam barisan pemain negara untuk cabaran Piala Thomas di Chengdu, China.
Zii Jia tersenarai dalam barisan pemain negara untuk cabaran Piala Thomas di Chengdu, China.
A
A
A

PERSOALAN mengenai penyertaan pemain profesional negara, Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas 2024 terjawab hari ini apabila namanya diumumkan dalam barisan pemain negara untuk tugasan di Chengdu, China.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, selain Zii Jia turut tersenarai pemain di ranking ke-18, Ng Tze Yong yang mendapat pelepasan sementara oleh pasukan perubatan untuk beraksi dalam kejohanan berpasukan perprestij itu.

Terdahulu, pemain profesional negara itu dilaporkan belum pasti menyertai skuad negara manakala Tze Yong pula masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan di bahagian belakang dialaminya sebelum ini.

BAM juga menyenaraikan Leong Jun Hao, Cheam Jun Wei dan Justin Hoh dalam perseorangan lelaki manakala gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kem beregu yang turut dibarisi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Muhammad Haikal Nazri.

"Bagi Piala Uber, BAM menyenaraikan pemain wanita berpengalaman, Goh Jin Wei dan K Letshanaa.

"Selain itu, bersama dalam pasukan Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Teoh Mei Xing, Goh Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berkata, pemilihan pemain adalah berdasarkan kepada pemantauan rapi dilakukan sepanjang sesi latihan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini dan juga melalui perbincangan menyeluruh bersama barisan kejurulatihan.

Menurut Rexy, beliau yakin kesemua pemain yang terpilih bersemangat untuk bersaing dan sudah pasti akan memberikan yang terbaik dalam kejohanan bermula 27 April hingga 5 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa pemain muda dalam skuad Piala Thomas dan Uber berazam membuktikan keupayaan mereka dan tekad memberikan persembahan yang mantap,” katanya.

Zii Jia menerusi akan Instagram Team LZJ berkata, ia merupakan penghormatan buat dirinya untuk membawa cabaran negara bersama rakan-rakan lebih-lebih lagi dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas.

Pemain di ranking ke-11 dunia itu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada BAM atas kepercayaan diberikan terhadap keupayaan beliau untuk membantu skuad negara.

Malaysia yang diletak selaku pilihan kelima kejohanan edisi 2024 itu diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Bagi saingan wanita pula, pasukan negara bakal berdepan tugasan berat dalam saingan Piala Uber 2024 apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

Berikut senarai pemain negara ke Piala Thomas dan Uber 2024 di Chendu, China pada 27 April hingga 5 Mei:

Piala Thomas: Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Muhammad Haikal Nazri.

Piala Uber: Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Teoh Mei Xing, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee, Chan Wen Tse. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!