Piala Thomas 2024: Status penyertaan Zii Jia diketahui Jumaat

Zii Jia
Zii Jia
A
A
A

TEKA teki di sebalik penyertaan pemain profesional negara Lee Zii Jia, ke dalam skuad Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, bakal diketahui esok.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata, pihaknya dijangka mengumumkan barisan penuh Piala Thomas 2024 itu, sehari sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup Sabtu ini.

"Mungkin diumum pada Jumaat," katanya pada Khamis.

Media sebelum ini memaklumkan pasukannya, Team LZJ, masih dalam perbincangan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung kemasukannya ke skuad Piala Thomas 2024.

Pemain berusia 26 tahun itu juga berharap agar Team LZJ mampu mencapai keputusan positif dalam perbincangan bersama BAM.

Kem perseorangan lelaki negara ke Piala Thomas ketika ini berdepan situasi membimbangkan memandangkan Zii Jia belum memberikan jawapan sama ada akan bersama skuad kebangsaan ke Chengdu manakala Ng Tze Yong pula masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan belakang dialaminya baru-baru ini.

Sekiranya kedua-dua pemain tersebut tidak berada dalam skuad Piala Thomas 2024, Malaysia boleh menaruh harapan kepada juara Masters Kuala Lumpur 2023, Leong Jun Hao dan dua pemain muda, Justin Hoh serta Eogene Ewe.

Minggu lepas, jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Tey Seu Bock berkata seorang lagi pemain profesional, Cheam June Wei mungkin dalam pertimbangan barisan kejurulatihan untuk menyertai skuad kebangsaan mengharungi kempen kejohanan badminton berpasukan berprestij dunia itu.

Artikel Berkaitan:

Seu Bock berkata, June Wei telah menyertai latihan di ABM Bukit Kiara di sini, bermula 5 April dan akan dinilai barisan kejurulatihan sebelum memilihnya pada kejohanan dijadual berlangsung dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Malaysia yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah dan juara edisi 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria. - Bernama