Siri kelima Ghostbusters gabungan baharu, lama

Antara babak dalam filem sekuel filem. Ghostbusters: Frozen Empire.
Antara babak dalam filem sekuel filem. Ghostbusters: Frozen Empire.
A
A
A

SELEPAS penghasilan Ghostbusters: Afterlife pada tahun 2021, Columbia Pictures bersama Ghost Corps dan Bron Creative kembali membawakan sekuel filem itu iaitu Ghostbusters: Frozen Empire.

Kali ini, Gil Kenan tidak lagi hanya sekadar bertindak selaku penulis skrip, sebaliknya menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, manakala Jason Reitman yang sebelum ini mengarahkan Ghostbusters: Afterlife pula hanya menjadi penulis skrip bersama.

Ghostbusters: Frozen Empire masih mengekalkan Paul Rudd, Carrie Coon, Finn Wolfhard dan Mckenna Grace masih lagi kekal selaku teraju utama.

No Image Caption

Lebih menarik, jika sebelum ini beberapa watak ikonik dalam filem Ghostbusters tampil sebagai penampilan istimewa, kali ini Bill Murray selaku Dr. Peter Venkman, Dan Aykroyd (Dr. Ray Stantz), Ernie Hudson (Winston Zeddemore), Annie Potts (Janine Melnitz) dan William Atherton (Walter Peck) tampil bergandingan dengan bintang baharu.

Gabungan itu secara tidak langsung menjadi antara tarikan utama dan menimbulkan nostalgia tersendiri buat peminat dalam francais kelima filem ini.

Bukan itu sahaja, kemunculan beberapa karakter hantu seperti Slimer dan Baby Pufts Marshmallow Men juga telah menjadi penambah perencah yang menarik.

Secara asasnya, Frozen Empire berlaku tiga tahun selepas filem Afterlife, di mana sekeluarga Spengler yang turut disertai oleh Gary Grooberson telah berpindah ke bandar New York atau lebih tepat lagi stesen Ghostbusters dan kembali menjadi pemburu hantu di bandar tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kemunculan artifak purba telah membuatkan Dr. Ray cuba mencari jawapan bersama pembantunya dan Phoebe.
Kemunculan artifak purba telah membuatkan Dr. Ray cuba mencari jawapan bersama pembantunya dan Phoebe.

Bagaimanapun suatu hari, kemunculan artifak purba telah menimbulkan huru-hara dan Ghosbusters lama serta baharu perlu bergabung sebelum dunia bertukar kepada zaman ais.

Siri kali ini pada dasarnya memberi tumpuan kepada watak Phoebe (Grace) yang sudah meningkat remaja dan mula bersikap suka memberontak. Disebabkan usia muda, Phoebe telah dipaksa untuk disingkirkan sebagai ahli Ghostbuster.

Sikap memberontak itu pada akhirnya telah mencetuskan malapetaka tidak terjangka dan bab itu bersesuaian dengan konflik yang dilalui oleh ramai ibu bapa apabila anak menginjak remaja.

Cuma sayangnya, watak Nadeem Razmaadi lakonan Kumail Nanjiani tidak dikembangkan secara baik, meskipun dia merupakan antara watak penting dalam filem ini.

Disebabkan penglibatan ramai watak - antara baru dan lama; serta percubaan Kenan dan Reitman untuk tampil dengan sebuah jalan cerita yang berbeza, penulis merasakan plot naskhah ini tidak kemas walaupun pada dasarnya mempunyai jalan cerita dan tarikannya yang menarik.

Watak Phoebe kali ini lebih gelap dan berbeza dengan karakternya dalam Afterlife.
Watak Phoebe kali ini lebih gelap dan berbeza dengan karakternya dalam Afterlife.

Ibarat dijanjikan dengan hidangan sebiji burger daging tetapi sebenarnya ia adalah burger ayam yang tidak lengkap isinya.

Walaupun kelemahan ketara adalah pada jalan cerita, tetapi Ghostbusters: Frozen Empire banyak dibantu dengan lakonan mantap serta kesan khas yang lebih kemas.

Mungkin sekiranya pihak produksi berhasrat untuk meneruskan penghasilan Ghostbusters selepas ini, biarlah tampil dengan skrip yang lebih kuat.


Ghostbusters: Frozen Empire

Pengarah: Gil Kenan

Pelakon: Paul Rudd, Carrie Coon, Finn Wolfhard, Mckenna Grace, Kumail Nanjiani, Patton Oswalt, Celeste O'Connor, Logan Kim, Dan Aykroyd, Ernie Hudson, Annie Potts

Genre: Penggembaraan / Komedi / Fantasi

Durasi: 1 Jam 56 Minit

Klasifikasi: 13

Tayangan: 11 Apr 2024

Bintang: 3/5

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28