Pengalaman luas Hamidin masih diperlukan pacu FAM

Hamidin
Hamidin
A
A
A

GESAAN supaya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meletak jawatan rentetan isu surat layang baru-baru ini disifatkan satu tindakan yang kurang wajar dan bukan jalan penyelesaian terbaik demi kemajuan bola sepak negara pada masa depan.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee menegaskan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan Datuk Hamidin gagal menambah baik landskap bola sepak Malaysia sejak menerajui badan induk tersebut pada 2018 adalah tidak berasas dan tidak berdasarkan fakta.

"Pihak yang menyuruh Datuk Hamidin letak jawatan itu mungkin lupa atau sebenarnya tak tahu yang ranking skuad Harimau Malaya ketika Datuk Hamidin mula menjadi Presiden FAM pada Julai 2018 ialah di tangga 171 dunia dan ia berjaya diperbaiki dengan cukup baik sehingga kita berjaya mencapai ranking terbaik iaitu 130 dunia pada tahun lalu. Ini satu kejayaan.

"Di zaman Datuk Hamidin ini juga kita dapat melihat pasukan kebangsaan kita mula mampu kembali mencabar pasukan-pasukan di ranking lebih baik, antaranya Kyrgyzstan, Turkmenistan dan India, selain berjaya layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas 43 tahun dan mampu untuk mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3.

"Semua ini memerlukan masa untuk kita meningkat dari satu tahap ke satu tahap. Jadi untuk mengatakan Datuk Hamidin tidak buat apa-apa untuk bola sepak Malaysia di sepanjang enam tahun ini, adalah satu tanggapan yang sama sekali tidak tepat.

"Malah bagi saya, FAM masih memerlukan Datuk Hamidin sebagai presiden," kata Kim Swee yang pernah menjadi pengendali Harimau Malaya pada 2016 hingga 2017.

Kim Swee yang juga bekas Pengarah Teknikal FAM yang kini merupakan pengendali Sabah FC turut berpendapat bahawa jawatan Ahli Majlis FIFA yang dimenangi Datuk Hamidin pada 1 Februari 2023 juga memainkan peranan cukup penting untuk beliau terus memegang jawatan Presiden FAM.

"Apa jadi kalau Datuk Hamidin letak jawatan sebagai Presiden FAM sekarang? Sudah tentu, satu kerugian besar buat bola sepak Malaysia kerana Datuk Hamidin memegang kerusi Ahli Majlis FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) itu untuk tempoh satu penggal sehingga 2027. A

Artikel Berkaitan:

"Apa guna kita ada beliau masih sebagai Ahli Majlis FIFA tetapi FAM pula diterajui individu lain yang tiada pengaruh di peringkat FIFA mahupun AFC?

"Lagipun kita boleh lihat, hubungan baik beliau dengan pemimpin bola sepak antarabangsa memudahkan kita untuk mendapat bantuan terutama dari segi penjimatan perbelanjaan pasukan-pasukan kebangsaan apabila berlatih dan menyertai pertandingan di luar negara.

"Hubungan baik Datuk Hamidin dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) dan Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) contohnya telah menjimatkan jutaan ringgit apabila saya difahamkan bahawa pihak SAFF dan QFA yang membantu membiayai kos ketika pasukan kita berada di negara berkenaan.

"Malah, kredibiliti Datuk Hamidin juga membolehkan kita mendapat jurulatih asing yang berkaliber bagi membimbing pasukan-pasukan kebangsaan kita seperti Kim Pan-gon (bola sepak), Soleen Al Zoubi (wanita) dan Rakphol Sainetngam (futsal). Satu lagi kejayaan atau sumbangan besar beliau untuk FAM," jelas Kim Swee.

Selain itu, dakwaan bahawa FAM dan Hamidin gagal meningkatkan tahap Liga Malaysia (Liga-M) termasuk mengaitkan beliau dengan isu tunggakan gaji pemain yang masih melanda di negara ini, Kim Swee berkata, perkara tersebut tidak boleh dituding jari ke arah bekas Setiausaha Agung FAM tersebut semata-mata.

"Untuk mengatakan Datuk Hamidin dan FAM gagal dalam kedua-dua aspek ini adalah tidak tepat kerana FAM kini bukan lagi badan yang mengendalikan Liga-M sejak beberapa tahun yang lalu dan masalah gaji pula, itu sebenarnya perlu ditujukan kepada pengurusan kelab terlibat dan mereka yang sepatutnya bertanggungjawab," tegas Kim Swee.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28